health-pulse-heart-rates health-pulse-heart-rates
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Jantung

Apakah Kadar Jantung yang Membimbangkan?

31 Mei 2024 · 7 mins read

Topics










Kadar denyutan jantung yang membimbangkan adalah kadar denyutan yang terlalu tinggi atau terlalu rendah daripada kadar yang disyorkan. Ketahui tentang masalah jantung termasuk bradikardia, takikardia dan tips untuk kekal sihat.

Jantung manusia ialah organ luar biasa yang mengepam darah berterusan ke seluruh badan, membekalkan oksigen dan nutrien penting untuk mengekalkan hayat. Memantau kadar denyutan jantung memberikan pandangan berharga tentang kesihatan kardiovaskular individu.

Dalam panduan komprehensif ini, kami akan menganalisis pelbagai aspek kadar denyutan jantung dan menerangkan faktor-faktor yang mempengaruhinya. Kami juga akan menerangkan punca denyutan jantung yang tidak normal, termasuk bila waktunya untuk mendapatkan rawatan perubatan. Kami juga menyediakan tips berguna untuk mengekalkan kadar denyutan jantung yang sihat.

Bagaimana Jantung Berfungsi dan Mengapa Ia Berdenyut?

Jantung ialah organ berotot yang berfungsi sebagai pam yang kompleks, mengedarkan darah ke seluruh sistem peredaran darah dan organ. Ia berdenyut berirama dan seterusnya memberikan aliran darah yang berterusan.

Kitaran jantung bermula daripada atrium kanan jantung menerima darah terdeoksigen daripada badan. Ruang ini bertindak sebagai takungan untuk menyediakan ventrikel kanan yang kemudiannya mengepam darah ke paru-paru untuk menerima oksigen. Darah kemudiannya mengalir ke atrium kiri, seterusnya ventrikel kiri yang apabila menguncup, mendorong darah yang kaya oksigen ke dalam arteri, memastikan oksigen dan nutrien tiba di organ yang penting.

Penguncupan berirama jantung dimulakan dan diselaraskan oleh isyarat elektrik daripada nod sinoatrial (SA), juga dirujuk sebagai perentak jantung semula jadi. Nod SA normal mampu menyesuaikan dan mengubah kadar denyutan jantung apabila diminta. Oleh itu, apabila peningkatan dalam output jantung diperlukan, kadar denyutan jantung secara amnya akan meningkat untuk memenuhi permintaan.

Apakah Kadar Denyutan Jantung?

Kadar denyutan jantung merujuk kepada bilangan kali jantung mengecut dalam satu minit, biasanya diukur dalam denyutan seminit (bpm). Kadar ini dianggap sebagai salah satu petunjuk utama kesihatan kardiovaskular dan kesejahteraan keseluruhan.

Julat kadar denyutan jantung rehat normal untuk orang dewasa ialah 60 hingga 100 bpm. Kadar denyutan jantung yang lebih rendah kadangkala (tidak selalu) menunjukkan kecergasan kardiovaskular yang lebih baik.

Memantau kadar denyutan jantung amat penting untuk menilai tahap kecergasan, menangani tekanan dan mengenal pasti masalah kesihatan yang berpotensi. Faktor seperti aktiviti fizikal, tekanan dan umur juga mempengaruhi kadar denyutan jantung.

Apakah Faktor yang Mempengaruhi Kadar Denyutan Jantung?

Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhinya:

  • Umur: denyutan jantung biasanya berkurangan mengikut usia. Ketika kecil, jantung cenderung berdenyut lebih cepat. Semakin bertambah usia, kadar denyutan jantung cenderung menurun sekitar 70-100 denyutan seminit pada belia, manakala individu lebih tua selalunya mempunyai kadar denyutan jantung rehat antara 60-100 denyutan seminit. Ini disebabkan oleh perubahan dalam sistem elektrik jantung dan penurunan tindak balas terhadap hormon antara faktor lain.
  • Tahap aktiviti: denyutan jantung anda berbeza semasa berehat berbanding semasa anda aktif. Kadar denyutan jantung berehat lebih rendah dan boleh digunakan sebagai ukuran garis dasar. Semasa senaman, kadar denyutan jantung anda meningkat untuk membekalkan otot dengan lebih banyak oksigen. Begitu juga, golongan yang mempunyai gaya hidup tidak aktif kadangkala mengalami kadar denyutan jantung yang lebih rendah. 
  • Tahap kecergasan: Tahap kecergasan mempengaruhi kadar denyutan jantung, dengan individu yang lebih cergas selalunya mempunyai kadar denyutan jantung berehat yang lebih rendah. Bagi individu yang sangat cergas, kadar rehat boleh berkisar antara 40 hingga 50 bpm. Senaman yang kerap meningkatkan jumlah denyutan jantung, membolehkannya mengepam dengan lebih cekap dan membekalkan oksigen. Kecekapan ini mengurangkan keperluan untuk kadar denyutan jantung rehat yang tinggi, menghasilkan nadi yang lebih perlahan dan sihat untuk orang yang cergas secara fizikal.
  • Emosi: Tekanan, kebimbangan dan emosi kuat lain boleh meningkatkan kadar denyutan jantung. Tindak balas "fight or flight" (tindak balas tekanan) meningkatkan kadar denyutan jantung untuk bersedia menghadapi kemungkinan ancaman. Analogi mudah, lonjakan mendadak dalam denyutan jantung dirasai semasa ketakutan atau kejutan.
  • Ubat dan perangsang: Ubat, kafein dan nikotin tertentu boleh mempengaruhi kadar denyutan jantung. Perangsang seperti kafein dan nikotin boleh meningkatkan kadar denyutan jantung buat sementara waktu, manakala ubat-ubatan tertentu boleh meningkatkan atau menurunkannya.

Apakah Kadar Denyutan Jantung yang Membimbangkan?

Memahami bilakah denyutan jantung menjadi membimbangkan amat penting untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Terdapat tiga kategori utama tentang masalah keadaan kadar denyutan jantung:

Denyutan jantung tidak teratur atau aritmia

Aritmia merujuk kepada denyutan jantung yang tidak teratur iaitu jantung berdenyut terlalu cepat (takikardia), terlalu perlahan (bradikardia) atau dalam corak yang tidak menentu. Pelbagai faktor, termasuk penyakit jantung, ketidakseimbangan elektrolit, penyakit tiroid, jangkitan dan demam boleh menyebabkannya.

Aritmia kadang-kadang boleh (tetapi tidak selalu) menyebabkan rasa berdebar-debar, ketidakselesaan dada, pening dan pengsan. Aritmia yang serius boleh mengganggu keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan berkesan, meningkatkan risiko strok atau kegagalan jantung. Terdapat beberapa pilihan rawatan, termasuk ubat-ubatan, perubahan gaya hidup atau prosedur perubatan untuk memulihkan irama jantung normal.

Denyutan terlalu perlahan atau bradikardia

Bradikardia ialah kadar denyutan jantung rehat yang sangat rendah, biasanya bawah 60 denyutan seminit pada orang dewasa. Hal ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk ubat-ubatan tertentu, penyakit jantung, penyakit tiroid atau masalah yang wujud dengan sistem elektrik jantung.

Bradikardia ringan biasanya diterima dengan baik dan jarang dikaitkan dengan gejala. Namun, dalam sesetengah kes, bradikardia boleh menunjukkan gejala seperti keletihan, pening dan pengsan. Dalam kes yang parah, ia boleh mengurangkan keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan berkesan, lalu memerlukan campur tangan perubatan seperti perentak jantung (atau implan bateri) untuk mengawal rentak jantung dan memulihkan denyutan jantung yang normal.

Denyutan terlalu laju atau takikardia

Takikardia merujuk kepada kadar denyutan jantung yang luar biasa tinggi, biasanya melebihi 100 denyutan seminit pada orang dewasa dalam keadaan rehat. Ia boleh disebabkan oleh tekanan, demam, anemia, penyakit tiroid atau keadaan jantung yang lain. Takikardia boleh menyebabkan berdebar-debar, sesak nafas dan pening.

Hal ini boleh menegangkan jantung, meningkatkan risiko komplikasi seperti pembekuan darah atau kegagalan jantung. Pilihan untuk rawatan berbeza-beza berdasarkan punca asas dan keterukan.

Takikardia ringan biasanya tidak dikaitkan dengan gejala dan mungkin tidak memerlukan rawatan sama sekali kecuali gaya hidup sihat dan senaman. Akan tetapi, ia dikaitkan dalam beberapa kes, terutamanya jika melibatkan gejala ubat-ubatan atau prosedur perubatan untuk membetulkan irama jantung yang tidak normal.

Apakah Punca Masalah Kadar Denyutan Jantung?

Beberapa faktor dan keadaan boleh membawa kepada masalah kadar denyutan jantung. Berikut adalah beberapa punca utama:

  • Keadaan kesihatan asas: Penyakit biasa yang menjejaskan jantung, seperti penyakit arteri koronari, gangguan injap jantung dan kecacatan jantung kongenital boleh mengganggu irama normal jantung dan menyebabkan kadar denyutan jantung yang membimbangkan. Penyebab perubatan lain termasuk jangkitan teruk dan penyakit tiroid. Sesetengah orang memiliki kelainan sifat elektrik di dalam jantung dan mungkin memerlukan ubat atau prosedur untuk membetulkannya.
  • Faktor luar seperti suhu melampau: Pendedahan kepada sejuk atau haba melampau boleh menjejaskan kadar denyutan jantung. Hipotermia boleh memperlahankan denyutan jantung, manakala strok haba boleh menyebabkan takikardia.
  • Tindakan berlebihan atau latihan berlebihan: Aktiviti fizikal yang sengit tanpa rehat dan pemulihan yang mencukupi boleh menyebabkan takikardia. Amat penting untuk diketahui oleh atlet dan individu yang terlibat dalam senaman yang berat.
  • Dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit: Kajian mencadangkan bahawa dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit penting seperti kalium dan natrium boleh mengganggu irama jantung dan mengakibatkan gangguan kadar denyutan jantung.

Bilakah Anda Perlu Mendapatkan Rawatan Perubatan?

Menyedari tanda-tanda yang menunjukkan rawatan perubatan segera diperlukan adalah penting untuk melindungi kesihatan jantung anda. Jika anda mengalami mana-mana simptom berikut, dapatkan rawatan perubatan dengan segera:

  • Sakit dada yang berterusan atau berulang atau ketidakselesaan.
  • Sesak nafas yang teruk.
  • Pengsan atau kehilangan kesedaran.
  • Denyutan jantung yang laju atau tidak teratur.
  • Pening yang teruk atau sedikit.
  • Keletihan atau kelemahan yang tidak dapat dijelaskan.

Harus diingat bahawa tidak semua penyakit jantung menunjukkan simptom dan pemeriksaan kerap serta pemantauan kadar denyutan jantung boleh membantu mengenali dan menangani isu yang mungkin terjadi sebelum menjadi tidak normal dan tidak sihat.

Bagaimanakah Cara Mengekalkan Kadar Denyutan Jantung Sihat?

Mengekalkan denyutan jantung yang sihat adalah penting untuk kesejahteraan keseluruhan. Berikut adalah beberapa tips untuk membantu anda mencapai dan mengekalkan kadar denyutan jantung yang sihat:

  • Senaman yang kerap: Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal yang kerap membantu menguatkan jantung anda dan menurunkan kadar denyutan jantung rehat.
  • Kekal terhidrat: Penghidratan yang betul menyokong kesihatan kardiovaskular dan membantu mengekalkan kadar denyutan jantung yang stabil.
  • Kurangkan pengambilan kafein dan nikotin: Hadkan penggunaan kafein dan elakkan produk nikotin kerana ia boleh menyebabkan denyutan jantung meningkat.
  • Urus tekanan: Mempraktikkan teknik relaksasi, termasuk pernafasan dalam, meditasi atau yoga, membantu mengurangkan tekanan dan kesannya terhadap kadar denyutan jantung.

Apakah Soalan Lazim Tentang Kadar Denyutan Jantung?

Apakah kadar denyutan jantung yang tidak sihat untuk wanita?

Kadar denyutan jantung biasa untuk wanita jatuh dalam julat 60 hingga 100 bpm semasa rehat. Sebarang kadar denyutan jantung yang berterusan di luar julat biasa mungkin memerlukan perhatian perubatan.

Apakah kadar denyutan jantung yang tidak sihat untuk seorang lelaki?

Kadar denyutan jantung bagi seorang lelaki juga berada dalam julat umum yang sama seperti untuk wanita, biasanya di bawah 60 atau melebihi 100 bpm semasa rehat. Walau bagaimanapun, bacaan di luar daripada julat ini mungkin menunjukkan masalah kesihatan.

Apakah kadar denyutan jantung yang tidak sihat untuk kanak-kanak?

Kadar denyutan jantung yang membimbangkan untuk kanak-kanak bergantung pada umur mereka. Bagi bayi di bawah 1 tahun, kadar denyutan jantung yang ketara melebihi atau di bawah purata kadar nadi rehat (RPR) 110 - 150 bpm boleh dianggap membimbangkan.

Apabila kanak-kanak semakin bertambah usia, kadar denyutan jantung yang jauh melebihi purata RPR untuk kumpulan umur mereka juga boleh membimbangkan. Sebagai contoh, kadar denyutan jantung yang lebih tinggi atau lebih rendah daripada purata RPR 70 - 100 bpm pada awal remaja mungkin menunjukkan masalah perubatan. Seorang profesional penjagaan kesihatan harus menilainya.

Apakah kadar denyutan jantung yang tidak sihat semasa bersenam?

Semasa bersenam, kadar denyutan jantung yang sihat boleh berbeza-beza bergantung pada intensiti senaman dan tahap kecergasan individu. Namun, kadar denyutan jantung yang jauh lebih tinggi daripada kadar denyutan jantung maksimum untuk umur seseorang mungkin membimbangkan.

Untuk mengetahui kadar denyutan jantung selamat maksimum anda semasa bersenam, tolak umur anda daripada 220. Sebagai contoh, jika anda berumur 40 tahun, kadar denyutan jantung maksimum anda semasa bersenam tidak boleh melebihi 180 bpm seminit.

Bolehkah denyutan jantung yang tinggi menyebabkan serangan jantung?

Kadar denyutan jantung rehat yang tinggi secara konsisten, dikenali sebagai takikardia, boleh menegangkan jantung dan meningkatkan risiko masalah berkaitan jantung. Walau bagaimanapun, ia bukan punca langsung serangan jantung. Serangan jantung berpunca daripada penyumbatan pada arteri koronari, menyekat aliran darah ke otot jantung.

Atur Janji Temu di Hospital Pantai

Memahami perkara yang menyebabkan denyutan jantung yang membimbangkan dan faktor yang mempengaruhinya adalah penting untuk mengekalkan kesihatan kardiovaskular. 

Pemantauan yang kerap, gaya hidup sihat dan rawatan perubatan segera apabila diperlukan boleh membantu memastikan jantung anda terus berdenyut dengan mantap dan boleh dipercayai, mengekalkan kesejahteraan keseluruhan anda.

Pelbagai cawangan Hospital Pantai di Malaysia menawarkan pakej pemeriksaan jantung yang komprehensif termasuk pemantauan kadar jantung. 

Ingat, kebolehubahan individu wujud; anda disarankan untuk berunding dengan profesional/pakar kardiologi penjagaan kesihatan untuk mendapatkan nasihat peribadi. 

Hubungi kami untuk mengatur janji temu hari ini untuk perundingan atau mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Penjagaan Kardiologi di Hospital Pantai yang terdekat dengan anda.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel ini telah disemak secara perubatan oleh pakar Kardiologi, Dr. Timothy James Watson @ Ibrahim Abdul-Aziz.

Artikel Dicadangkan

Click to know more!