health-pulse-postpartum-hair-loss banner health-pulse-postpartum-hair-loss banner
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Wanita

Menangani Rambut Gugur Selepas Bersalin: Perkara Yang Anda Perlu Lakukan

12 Julai 2024 · 4 mins read

Topics







Keguguran rambut selepas bersalin atau alopecia selepas bersalin ialah keguguran rambut yang boleh berlaku pada bulan-bulan selepas bersalin. Ketahui cara menanganinya secara berkesan.

Menjadi seorang ibu adalah peristiwa yang menggembirakan, tetapi sering disertai dengan perubahan fizikal, termasuk keguguran rambut selepas bersalin. Mengalami permulaan rambut menipis beberapa minggu selepas kelahiran anak anda boleh menjadi kejutan yang tidak diingini.

Anda mungkin melihat helaian rambut pada bantal dan pakaian anda atau saliran bilik mandi anda mungkin tersumbat dengan rambut. Peningkatan keguguran rambut ini adalah perkara lazim terjadi akibat turun naik hormon selepas kehamilan.

Apakah keguguran rambut selepas bersalin?

Keguguran rambut selepas bersalin atau alopecia selepas bersalin ialah keguguran rambut berlebihan yang boleh berlaku pada bulan-bulan selepas bersalin. Ia keguguran corak rambut yang meresap, secara perubatan diistilahkan sebagai Postpartum Telogen Effluvium (PPTE).

Biasanya berlaku antara tiga hingga empat bulan selepas bersalin, keguguran rambut selepas bersalin adalah normal dan sementara bagi kebanyakan wanita. Namun, pertumbuhan rambut normal boleh berterusan semula dalam masa setahun atau lebih.

Mengapakah rambut gugur selepas bersalin?

Perubahan hormon semasa kehamilan memainkan peranan penting dalam keguguran rambut selepas bersalin.

Jumlah estrogen yang lebih tinggi memanjangkan fasa perkembangan rambut semasa kehamilan. Hasilnya, rambut anda yang lebih tebal dan berkilat. Akan tetapi, paras estrogen menurun selepas bersalin dan kitaran rambut kembali normal. Perubahan ini boleh mengakibatkan lebih banyak rambut gugur.

Ada yang mengatakan penyusuan susu ibu boleh menyebabkan keguguran rambut. Namun, penyusuan susu ibu itu sendiri bukan secara langsung menyebabkan keguguran rambut. Keguguran rambut selepas bersalin terutamanya dikaitkan dengan perubahan hormon berbanding penyusuan susu ibu. Tekanan dan tuntutan nutrien yang berkaitan dengan penyusuan susu ibu secara tidak langsung boleh menyumbang kepada keguguran rambut jika tidak diuruskan dengan baik.

Bilakah rambut gugur selepas bersalin bermula?

Keguguran rambut selepas bersalin biasanya bermula sekitar tiga hingga empat bulan selepas bersalin.

Berapa lamakah rambut gugur selepas bersalin?

Keguguran rambut selepas bersalin biasanya berlangsung selama kira-kira enam hingga 12 bulan selepas bersalin. Bagi sesetengah wanita, mungkin keadaan ini pulih lebih cepat, manakala bagi yang lain, mungkin berterusan lebih lama.

Tempoh dan keterukan rambut gugur selepas bersalin boleh berbeza-beza bagi setiap orang. Penting untuk diingat bahawa ini adalah bahagian biasa dalam tempoh selepas bersalin disebabkan perubahan hormon. Rambut biasanya tumbuh semula setelah tahap hormon stabil.

Bagaimanakah saya boleh menangani keguguran rambut selepas bersalin?

Walaupun keguguran rambut selepas bersalin merupakan proses semula jadi, terdapat langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk menanganinya:

  • Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang: Pemakanan memainkan peranan penting dalam kesihatan rambut. Oleh itu, anda harus mengambil diet yang kaya dengan vitamin, mineral dan protein. Di samping itu, pengambilan makanan yang tinggi dalam biotin, Vitamin E, zink, dan zat besi boleh bermanfaat untuk pertumbuhan rambut. Rujuk dengan pembekal penjagaan kesihatan anda untuk cadangan pemakanan yang diperibadikan.
  • Urutan kulit kepala: Mengurut kulit kepala dengan kerap boleh membantu merangsang peredaran darah lalu menggalakkan pertumbuhan rambut.
  • Menangani tekanan: Walaupun lebih mudah diucapkan daripada dilakukan, terutamanya dengan bayi yang baru lahir, menguruskan tekanan melalui teknik relaksasi, tidur yang mencukupi dan penjagaan diri boleh memberi kesan positif kepada kesihatan rambut.
  • Gunakan perapi ringan: Perapi berat boleh membebankan rambut anda, menjadikannya kelihatan lebih nipis. Pilih perapi yang ringan dan melembapkan untuk mengelakkan masalah ini.
  • Menjaga rambut dengan lembut: Kendalikan rambut anda dengan berhati-hati. Elakkan memberus atau penggayaan yang berlebihan kerana ini boleh memberi tekanan tambahan pada rambut selepas bersalin yang sedia rapuh. Gunakan sikat bergigi lebar untuk meleraikan kusut dan berlembut semasa mengeringkan rambut menggunakan tuala.
  • Cuba gaya rambut yang berbeza: Eksperimen dengan gaya rambut yang boleh menyamarkan kawasan penipisan atau menjadikan rambut anda kelihatan lebih penuh. Pertimbangkan gaya yang lebih pendek atau tambah lapisan untuk serlahan.
  • Cuba elak haba pada rambut anda: Hadkan alat penggayaan yang dipanaskan seperti pelurus dan pengeriting kerana ia boleh merosakkan rambut selepas bersalin yang rapuh. Jika anda perlu menggunakannya, gunakan produk pelindung haba.
  • Dapatkan penyelesaian perubatan: Walaupun keguguran rambut selepas bersalin tidak berbahaya, jika anda perasan keguguran yang berlebihan atau berpanjangan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar dermatologi. Pakar boleh menyediakan rawatan yang disesuaikan, menolak keadaan asas lain seperti gangguan tiroid yang boleh menyumbang kepada keguguran rambut.

Baca lebih lanjut: Penjagaan Selepas Bersalin

Atur Janji Temu di Hospital Pantai

Mengalami keguguran rambut selepas bersalin boleh menjadi satu perjalanan yang sukar bagi ibu baharu. Namun, perkara ini fasa biasa dan sementara.

Jika anda bimbang tentang keguguran rambut selepas bersalin, hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pasukan pakar sakit puan kami hari ini untuk bimbingan dan sokongan pakar atau mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pantai yang terdekat dengan anda.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan

Click to know more!