Topics
Adakah ketulan darah beku semasa kitaran haid normal?
Setiap wanita mempunyai kitaran haid yang berbeza dari segi tempoh masa, aliran, dan kekerapan. Darah haid yang mengandungi ketulan darah beku mungkin membimbangkan, namun kebanyakan ketulan darah adalah normal dan merupakan hasil daripada proses semula jadi penggumpalan darah semasa haid, terutamanya pada beberapa hari yang pertama.
Walau bagaimanapun, jika anda mendapati ketulan darah beku yang besar atau mengalami perubahan ketara pada kitaran haid anda, ia mungkin petanda untuk berjumpa dengan doktor. Ketulan darah beku yang besar atau disertai dengan haid yang amat menyakitkan (senggugut) mungkin menandakan kewujudan keadaan seperti fibroid rahim, adenomiosis, atau endometriosis.
Jika anda mengalami ketulan darah beku dengan saiz yang luar biasa atau senggugut, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor untuk penilaian lanjut.
Apakah punca darah haid yang banyak dan berketul?
Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan seseorang mengalami ketulan darah beku dengan saiz yang luar biasa atau aliran haid yang lebih deras daripada biasa. Antaranya adalah:
- Fibroid rahim: Fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser di dalam rahim yang boleh menyebabkan pendarahan haid yang banyak dan darah beku, bersama-sama dengan sakit pinggang.
- Endometriosis: Endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang melapisi bahagian dalaman rahim tumbuh di luar rahim. Ini boleh menyebabkan pendarahan yang banyak semasa haid, bersama dengan ketulan darah beku dan sakit pinggang.
- Adenomiosis: Adenomiosis berlaku apabila tisu yang biasanya melapisi rahim (tisu endometrium) tumbuh ke dalam dinding otot rahim, lalu menyebabkan haid yang banyak, ketulan darah beku, dan senggugut.
- Sindrom Ovarium Polikistik (PCOS): PCOS adalah gangguan hormon yang ditandai dengan kedatangan haid yang tidak teratur dan pendarahan yang banyak.
- Ketidakseimbangan hormon: Ketidakseimbangan hormon berlaku apabila anda mempunyai terlalu banyak atau terlalu sedikit satu atau lebih hormon. Fluktuasi dalam tahap hormon, terutamanya estrogen dan progesteron, boleh mempengaruhi ketebalan lapisan rahim dan keteraturan pendarahan haid.
- Gangguan darah: Beberapa gangguan darah, seperti penyakit von Willebrand atau trombositopenia, boleh mengganggu keupayaan darah untuk membeku dengan betul, lalu menyebabkan pendarahan haid yang lebih banyak dan ketulan darah beku.
Bila perlu berjumpa dengan doktor?
Jika anda perlu menukar tampon atau tuala wanita dalam masa kurang daripada 2 jam atau mengalami ketulan darah beku dengan saiz syiling 50sen (lama) atau lebih besar, anda harus berjumpa dengan doktor.
Apakah rawatan yang ada?
Rawatan untuk darah haid yang mengandungi ketulan darah beku bergantung kepada punca dan keterukan simptom. Ini termasuk:
- Ubat anti-radang tanpa steroid (NSAID): NSAID seperti ibuprofen atau naproxen yang boleh dibeli di farmasi boleh membantu mengurangkan senggugut dan aliran darah, lalu membantu mengurangkan penggumpalan darah.
- Asid tranexamic: Ini membantu mengurangkan pendarahan haid yang banyak dengan mempercepatkan pembekuan darah. Ia diambil semasa haid dan boleh membantu mengurangkan jumlah perdarahan dan penggumpalan darah.
- Kawalan kelahiran hormon: Kaedah kawalan kelahiran hormon, seperti pil perancang keluarga, pelekat kawalan kehamilan, atau IUD hormon, boleh membantu mengatur kitaran haid dan mengurangkan pendarahan yang banyak serta pembekuan darah bagi sesetengah individu. Kaedah ini berfungsi dengan menstabilkan tahap hormon dan menipiskan lapisan rahim.
- Perubahan gaya hidup: Bagi menguruskan pendarahan haid yang banyak dengan ketulan darah beku, perubahan gaya hidup tertentu adalah disarankan seperti mengekalkan berat badan yang sihat, bersenam, menguruskan tekanan, dan mengelakkan merokok.
- Perawatan punca masalah: Jika pendarahan haid yang banyak dengan ketulan darah beku adalah disebabkan oleh fibroid, adenomiosis, endometriosis, atau gangguan tiroid, simptom akan berkurang apabila keadaan tersedia tersebut dirawat.
- Suplemen zat besi: Pendarahan haid yang banyak kadang-kadang boleh menyebabkan kekurangan zat besi dan anemia. Pengambilan tambahan zat besi boleh membantu mencegah atau merawat anemia yang disebabkan oleh haid yang banyak.
- Pembedahan: Dalam sesetengah kes, pembedahan mungkin diperlukan untuk menangani keadaan yang menyebabkan pendarahan haid yang banyak dengan ketulan darah beku. Contohnya, ablatio endometrium, histerektomi atau miomektomi.
Atur janji temu di Hospital Pantai
Anda disarankan untuk bersikap terbuka dan jujur dengan doktor anda tentang simptom anda untuk memastikan anda menerima diagnosis dan rawatan yang betul. Doktor anda akan menyokong anda dan menyediakan penjagaan yang anda perlukan.
Hubungi kami untuk membuat temu janji dengan pasukan pakar ginekologi kami hari ini, atau ketahui lebih lanjut mengenai Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologidi Hospital Pantai terdekat anda.
Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.