Topics
Warna darah haid kadangkala boleh memberikan gambaran tentang kesihatan reproduktif anda. Lazimnya, variasi warna haid adalah normal dan boleh dipengaruhi oleh faktor seperti fasa kitaran haid, diet dan turun naik hormon anda. Namun demikian, perubahan warna tertentu mungkin memberikan indikasi tentang masalah kesihatan yang memerlukan rawatan perubatan.
Apakah maksud di sebalik warna darah haid?
Berikut adalah beberapa warna darah haid umum dan maksud di sebaliknya:
Darah haid warna coklat
Darah haid berwarna coklat biasanya muncul pada penghujung kitaran haid dan anda tidak perlu berasa bimbang. Walau bagaimanapun , jika anda mempunyai darah keperangan sepanjang kitaran haid anda secara konsisten, ini mungkin menunjukkan masalah seperti ketidakseimbangan hormon atau pendarahan haid yang tidak teratur.
Darah haid warna merah jambu
Darah warna merah jambu muda mungkin muncul pada awal atau akhir kitaran haid anda dan ia selalunya normal. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami darah merah jambu yang berterusan sepanjang kitaran anda, ia mungkin menandakan tahap estrogen rendah atau masalah hormon lain.
Darah haid warna merah terang
Darah haid merah terang adalah biasa pada permulaan haid apabila aliran darah biasanya lebih berat kerana darah anda masih segar. Walau bagaimanapun, jika pendarahan merah terang berlaku sepanjang kitaran anda dan disertai dengan jumlah darah yang banyak dan sakit senggugut yang teruk, ia mungkin tanda penyakit seperti fibroid atau endometriosis.
Darah haid warna merah gelap
Darah haid merah gelap adalah darah yang mengambil masa yang lebih lama untuk keluar dari badan anda. Ia boleh disertai dengan ketulan darah beku, yang biasanya dianggap normal melainkan saiznya melebihi saiz duit syiling 50sen (saiz lama).
Darah haid warna jingga
Darah yang bercampur dengan cecair serviks boleh kelihatan seperti warna jingga. Jika and melihat darah haid anda berwarna jingga secara konsisten atau jika ia disertai dengan simptom lain seperti sakit, bau luar biasa, atau perubahan corak haid, anda disarankan agar berjumpa dengan doctor untuk pemeriksaan selanjutnya.
Darah haid warna hitam
Darah haid warna hitam jarang berlaku tetapi bukanlah sesuatu yang aneh. Ini berkemungkinan adalah darah yang telah berada dalam rahim anda untuk tempoh yang lebih lama sebelum dikeluarkan dari badan. Jika mengalami darah haid berwarna hitam sepanjang kitaran anda secara konsisten atau jika ia disertai dengan simptom lain seperti sakit yang teruk, bau yang luar biasa atau haid yang tidak teratur, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor. Simptom-simptom ini berpotensi menunjukkan masalah kesihatan asas yang memerlukan perhatian dan penilaian lanjut.
Darah haid warna kelabu
Darah haid berwarna kelabu bukanlah warna yang biasa mahupun normal, dan jika anda perasan, barangkali ia menunjukkan kebimbangan kesihatan yang mungkin memerlukan perhatian daripada doktor anda. Darah haid berwarna kelabu mungkin membawa maksud yang anda menghidapi jangkitan, produk haid yang tertahan atau keadaan kesihatan yang lain.
Bilakah anda perlu berjumpa doktor?
Melihat kepelbagaian warna-warna darah haid semasa haid merupakan perkara yang normal sepanjang hidup seorang wanita. Walau bagaimanapun, jumpalah doktor jika anda mempunyai persoalanan tentang perubahan warna darah haid atau jika anda mengalami perubahan luar biasa dalam kitaran haid anda.
- Tempoh haid melebihi tujuh hari atau memerlukan pertukaran tuala wanita dan tampon setiap satu hingga dua jam.
- Sakit abdomen yang teruk semasa haid yang mengganggu kehidupan seharian.
- Mengalami ketulan darah beku yang lebih besar daripada saiz syiling 50sen (saiz lama).
- Mengalami kesan titisan darah atau pendarahan di luar kitaran haid.
- Kitaran haid kurang daripada 24 hari atau lebih daripada 38 hari.
- Tidak mengalami haid selama tiga bulan, tetapi tidak hamil atau menyusu.
- Pendedahan berterusan selepas mencapai menopaus, biasanya berlaku dalam lingkungan usia 40-an atau 50-an.
- Simptom lain selain daripada perubahan haid seperti demam, mual, muntah, keletihan, atau sakit perut.
Jika anda perasan perubahan warna yang tidak biasa dalam darah haid anda, adalah penting untuk berunding dengan doktor anda untuk mengenal pasti sebarang masalah yang mungkin anda hadapi. Perubahan ini boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan yang memerlukan perhatian.
Atur janji temu di Hospital Pantai
Jika anda mendapati adanya perubahan warna yang tidak biasa semasa kedatangan haid, adalah penting untuk berjumpa dengan doktor. Perubahan-perubahan ini mungkin menandakan masalah kesihatan yang memerlukan rawatan selanjutnya.
Hubungi kami untuk membuat temu janji dengan pasukan pakar ginekologi kami hari ini, atau ketahui lebih lanjut mengenai Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pantai terdekat anda.
Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.