Meningitis: Simptom, Diagnosis, Rawatan

Meninges adalah lapisan pelindung yang melitupi otak dan saraf tunjang. Lapisan ini menyediakan struktur dan sokongan untuk melindungi otak dan saraf tunjang daripada kecederaan.

Meningitis merujuk kepada keradangan meninges. Meningitis biasanya dialami oleh kalangan bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa, malah boleh menjejaskan individu pada sebarang umur.

Meningitis tidak boleh disamakan dengan ensefalitis. Walaupun meningitis adalah keradangan meninges, ensefalitis merujuk kepada keradangan otak itu sendiri. Meningitis adalah keadaan serius yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera. 

Apakah punca meningitis?

Meningitis boleh dikategorikan mengikut agen penyebab:

Meningitis viral

Meningitis virus adalah jenis meningitis yang paling biasa dan selalunya kurang teruk daripada meningitis bakteria. Biasanya disebabkan oleh virus yang menyebabkan penyakit seperti cacar air, influenza, beguk dan campak.

Individu yang mempunyai sistem imun yang baik secara amnya boleh pulih dengan sendirinya. Namun, individu yang mengalami simptom meningitis harus segera mendapatkan rawatan perubatan kerana sebarang bentuk meningitis boleh mendatangkan ancaman serius kepada kesihatan.

Meningitis bakteria 

Meningitis akibat jangkitan kuman boleh membawa maut dan memerlukan campur tangan perubatan segera. Beberapa jenis bakteria boleh menyebabkan meningitis.

Biasanya, tanda-tanda meningitis bakteria muncul dalam masa 3 hingga 7 hari selepas pendedahan. Akan tetapi, penting untuk ambil perhatian bahawa jangka masa ini tidak terpakai untuk meningitis Tuberkulosis (TB), yang simptomnya hanya jelas lebih lewat selepas terdedah kepada bakteria.

Beberapa bakteria juga boleh dikaitkan dengan satu lagi keadaan teruk yang dikenali sebagai sepsis. Sepsis ialah tindak balas melampau tubuh terhadap jangkitan, lalu menyebabkan krisis perubatan yang mengancam nyawa. Keadaan ini berlaku apabila jangkitan mencetuskan rangkaian tindak balas di seluruh badan. Tanpa rawatan segera, sepsis boleh mengakibatkan kerosakan tisu, kegagalan organ dan kematian dengan cepat.

Meningitis kulat

Meningitis akibat jangkitan kulat jarang berlaku. Keadaan ini berlaku akibat penyedutan spora kulat dari persekitaran, yang akhirnya sampai ke sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang). Meningitis kulat lebih biasa pada kalangan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Meningitis parasit

Meningitis parasit disebabkan oleh parasit yang biasanya menjangkiti haiwan dan lebih jarang berlaku berbanding meningitis virus dan bakteria. Pengambilan makanan yang tercemar dengan parasit ini boleh menyebabkan meningitis parasit. 

Apakah simptomnya?

Simptom biasa meningitis termasuk:

  • Demam
  • Sakit kepala
  • Loya dan muntah
  • Kekakuan leher
  • Kepekaan cahaya (fotofobia)
  • Kekeliruan
  • Mengantuk 
  • Sakit sendi
  • Sawan 
  • Ruam (petechiae) 

Bayi mungkin tidak mempunyai simptom yang sama seperti orang dewasa dan mungkin sukar untuk menentukannya jika mereka mengalaminya. Beberapa tanda yang perlu diberi perhatian pada bayi yang disyaki meningitis termasuk:

  • 'Bintik lembut' (fontanelle) yang membonjol pada kepala bayi
  • Kurang menyusu
  • Mengantuk atau sukar bangun tidur
  • Lesu 
  • Tangisan yang nyaring

Apakah faktor risikonya?

Faktor risiko untuk meningitis termasuk:

  • Bayi dan kanak-kanak.
  • Remaja dan dewasa.
  • Orang yang lebih tua.
  • Sistem imun yang lemah (contohnya, HIV, kanser, ubat-ubatan yang menekan sistem imun).
  • Pemvaksinan yang tidak lengkap.
  • Penyalahgunaan alkohol.

Adakah meningitis berjangkit?

Walaupun meningitis itu sendiri tidak berjangkit, organisma penyebab penyakit ini boleh menular. Kebanyakan bakteria dan virus penyebab meningitis boleh merebak dari satu individu kepada individu yang lain. 

Bagaimanakah keadaan ini didiagnosis?

Meningitis biasanya didiagnosis melalui gabungan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan ujian diagnostik. Semasa sejarah perubatan, doktor mungkin bertanya tentang simptom, penyakit baru-baru ini dan potensi pendedahan kepada jangkitan.

Pemeriksaan fizikal selalunya termasuk menilai tanda-tanda neurologi seperti kekakuan leher, status mental yang berubah dan kepekaan terhadap cahaya (fotofobia).

Ujian diagnostik yang biasa digunakan untuk mengesahkan meningitis termasuk:

  • Tusukan lumbar (spinal tap) untuk menguji cecair serebrospinal (CSF) untuk tanda-tanda jangkitan.
  • Ujian darah.
  • Imbasan tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnetik (MRI).

Bagaimanakah ia dirawat?

Pengurusan meningitis bergantung kepada agen penyebabnya. Ini termasuk:

  • Antibiotik untuk meningitis bakteria.
  • Antiviral untuk jenis meningitis virus tertentu.
  • Antikulat untuk meningitis kulat.
  • Steroid untuk mengurangkan bengkak di sekitar otak, jika ada.
  • Ubat untuk melegakan kesakitan.
  • Cecair intravena (IV) untuk kekal terhidrat.

Meningitis virus boleh sembuh secara spontan dalam masa tujuh hingga sepuluh hari. Selepas rawatan, meningitis bakteria dan kulat boleh berkekalan beberapa hari hingga seminggu atau lebih. Pemulihan sepenuhnya daripada meningitis mungkin memerlukan beberapa minggu hingga beberapa bulan. Sesetengah individu boleh mengalami komplikasi kesihatan jangka panjang.

Apakah komplikasi meningitis?

  • Kehilangan pendengaran separa atau lengkap.
  • Kehilangan penglihatan separa atau lengkap.
  • Isu ingatan dan tumpuan.
  • Sawan berulang.
  • Isu koordinasi, pergerakan dan keseimbangan.
  • Kesukaran pembelajaran dan isu tingkah laku (pada kanak-kanak).
  • Artritis (keradangan satu atau lebih sendi dalam badan).
  • Kehilangan anggota badan.

Bolehkah meningitis dicegah?

Beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan kemungkinan mendapat meningitis.

  • Pematuhan jadual vaksinasi (bayi, kanak-kanak, remaja).
  • Vaksinasi terhadap bakteria/virus penyebab meningitis (untuk individu berisiko tinggi).
  • Antibiotik profilaksis untuk individu yang berisiko tinggi jangkitan bakteria.
  • Mempraktikkan pengendalian makanan yang selamat.
  • Kekalkan kebersihan yang baik.
  • Mengelakkan hubungan rapat dengan individu yang sakit.
  • Elakkan berenang di dalam air yang berpotensi tercemar.
  • Elakkan daging dan makanan laut yang tidak dimasak atau kurang masak.

Atur janji temu di Hospital Pantai

Meningitis adalah keadaan perubatan serius yang boleh mengancam nyawa dan membawa kepada komplikasi kesihatan jangka panjang. Rawatan awal boleh meningkatkan peluang pemulihan penuh dan mengurangkan risiko akibat jangka panjang.

Pasukan yang berdedikasi dan pakar neurologi di Hospital Pantai tersedia untuk perundingan bagi memberikan penjagaan dan bantuan yang terbaik.

Hubungi kami untuk mengatur janji temu hari ini jika anda mempunyai kebimbangan atau soalan tentang meningitis. Kami menjamin penjagaan yang terbaik dan khusus untuk keperluan anda.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!