Topics
- Kira-kira 1 daripada 4 orang yang dijangkiti denggi akan jatuh sakit. Simptom mungkin terdiri daripada ringan atau teruk.
- Kira-kira 1 daripada 20 orang yang dijangkiti denggi akan mengalami denggi yang teruk.
- Individu yang pernah menghidap denggi pada masa lalu lebih berkemungkinan menghidap denggi yang teruk.
- Bayi dan wanita hamil juga berisiko tinggi dijangkiti denggi yang teruk.
- Denggi tidak berjangkit daripada manusia kepada manusia. Jangkitan hanya berlaku melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang dijangkiti.
- Kejutan dan pendarahan (pendarahan dalaman) mungkin berlaku pada sesetengah pesakit dengan denggi yang teruk; mendapatkan rawatan perubatan segera adalah penting.
Apakah punca demam denggi?
Demam denggi adalah jangkitan virus yang disebabkan oleh virus asid ribonukleik (RNA) daripada keluarga flaviviridae. Penyakit ini adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti sebelum ini.
Apakah tanda atau simptom demam denggi?
Berikut adalah simptom yang perlu anda perhatikan:
- Demam tinggi tiba-tiba (40°C/104°F)
- Sakit kepala yang sangat teruk
- Sakit belakang mata
- Sakit otot dan sendi
- Rasa mual dan muntah
- Kelenjar bengkak
- Ruam badan
Apakah cara mengatasi demam denggi?
Anda harus melakukan perkara berikut untuk pulih:
- Jika anda mengalami simptom dan mengesyaki ia adalah denggi, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah berjumpa doktor.
- Doktor anda akan meminta anda untuk berehat sebanyak mungkin.
- Doktor anda akan menetapkan paracetamol untuk membantu mengurangkan demam dan melegakan kesakitan. Peringatan: Jangan ambil aspirin dan ibuprofen!
- Banyakkan minum air. Kekal terhidrat dengan minum banyak air. Berhati-hati dengan tanda-tanda dehidrasi.
- Minta ahli keluarga atau rakan untuk menghantar anda ke hospital terdekat jika anda tidak dapat memandu.
Anda juga harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah gigitan nyamuk dan meminimumkan risiko penularan yang selanjutnya:
- Bersihkan persekitaran anda daripada keadaan yang menggalakkan pembiakan nyamuk.
- Pakai pakaian yang boleh menutupi badan anda sebanyak mungkin.
- Gunakan penghalau serangga, tidur di bawah kelambu, tutup pintu dan tingkap atau pastikan jaring dipasang.
Apakah cara mencegah wabak denggi di rumah anda?
Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Cara paling berkesan untuk mencegah demam denggi adalah dengan sentiasa berwaspada dan mengelakkan gigitan nyamuk.
Ingat, nyamuk yang telah menggigit dan menjangkiti ahli keluarga mungkin terus menggigit dan menjangkiti orang lain.
-
Mengelakkan nyamuk Aedes daripada membiak
Penting untuk menyingkirkan nyamuk dengan membuang habitat pembiakannya:
- Buang semua bekas yang tidak diingini yang boleh mengumpul air (air bertakung adalah habitat pembiakan nyamuk).
- Periksa dan tukar air dalam pasu bunga di rumah anda dengan kerap.
- Untuk pasu bunga di taman anda, bersihkan dengan kerap untuk mengelakkan pengumpulan air.
- Sentiasa pastikan semua bekas air ditutup.
-
Tutup pintu dan tingkap atau pasang jaring
Nyamuk Aedes paling aktif pada waktu senja dan subuh. Jika anda tinggal di kawasan yang terdedah kepada denggi, sebaiknya sentiasa tutup pintu dan tingkap. Anda juga boleh meletakkan skrin pada tingkap dan pintu untuk menghapuskan kemungkinan nyamuk memasuki rumah. Anda boleh tidur di bawah kelambu juga.
-
Gunakan penghalau nyamuk
Sapukan penghalau serangga atau nyamuk pada badan anda semasa dalam perjalanan atau semasa anda berada di dalam rumah. Untuk bayi dan kanak-kanak, anda boleh mendapatkan tampalan antinyamuk, pita atau kain lap dari farmasi.
-
Hapuskan nyamuk dewasa
Gunakan penghalau serangga aerosol, gegelung nyamuk dan wap elektrik untuk menghapuskan nyamuk dewasa.
-
Pakai pakaian pelindung
Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang dengan stoking dan kasut bertutup untuk menutupi badan anda sebanyak mungkin.
-
Atur waktu untuk anda keluar
Atur waktu untuk anda keluar mengikut keadaan cuaca. Bawa bersama kit yang diperlukan seperti ubat nyamuk dan beg tidur berjaring yang boleh membantu melindungi anda daripada gigitan nyamuk.
Dapatkan rawatan demam denggi di Hospital Pantai
Jika anda menghadapi situasi yang memerlukan rawatan perubatan, sila dapatkan rawatan perubatan segera di jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di Hospital Pantai terdekat anda.
Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.