Kanser faraj merupakan jenis kanser yang jarang terjadi yang terbentuk di dalam faraj. Faraj adalah saluran
elastik, otot yang menghubungkan leher rahim (serviks) ke vulva.
Panjang faraj adalah kira-kira 7.5 hingga 10 cm dan mempunyai lapisan tisu yang berikut:
- Tisu epitelium: Lapisan nipis sel skuamosa yang membentuk lapisan dinding faraj.
- Tisu penghubung: Lapisan tisu berserabut dengan saraf, otot dan saluran limfa di bawah
epitelium.
Apakah jenis-jenis kanser faraj?
- Karsinoma sel skuamus
- Ini adalah jenis kanser faraj yang paling lazim, menyumbang kira-kira 70-90% daripada kes.
- Berkemungkinan besar berkembang di bahagian atas faraj, berhampiran serviks.
- Adenokarsinoma
- Mungkin lebih mencabar untuk didiagnosis kerana lebih berkemungkinan tersembunyi di dalam saluran
faraj.
- Boleh menjejaskan golongan wanita muda.
- Sarkoma
- Sarkoma faraj ialah kanser yang berkembang dalam tisu penghubung.
- Melanoma
- Melanoma faraj ialah kanser yang jarang berlaku yang berasal daripada melanosit, sel penghasil
pigmen.
- Berkemungkinan besar menjejaskan bahagian bawah faraj.
Apakah tanda-tanda kanser faraj?
Simptom biasa termasuk yang berikut:
- Ketumbuhan atau ketulan di dalam faraj
- Ulser atau perubahan kulit di dalam dan sekitar faraj
- Pendarahan selepas menopaus atau antara haid
- Sakit semasa melakukan hubungan seks
- Pendarahan selepas hubungan seks
- Keputihan yang berlumuran darah atau berbau
- Gatal faraj
Simptom kanser lanjutan mungkin termasuk:
- Sakit pelvis
- Sembelit
- Bengkak pada kaki
- Darah dalam air kencing, peningkatan kekerapan membuang air kecil
Hampir 20% wanita adalah asimptomatik pada masa diagnosis. Kanser faraj ini hanya boleh dikesan semasa
pemeriksaan serviks yang rutin.
Nota: Jika anda mengalami mana-mana simptom di bawah, sila rujuk pakar ginekologi.
Apakah faktor-faktor risiko bagi kanser faraj?
Faktor risiko berikut boleh meningkatkan risiko anda mendapat kanser faraj:
- Wanita berumur 75 tahun ke atas. Jarang dilihat pada wanita yang berumur lebih muda daripada 40 tahun.
- Papilomavirus manusia (HPV)
- Sejarah kanser serviks
- Jangkitan virus imunodefisiensi manusia (HIV) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS)
- Sistem imun yang lemah
- Pendedahan kepada diethylstilbestrol (DES)
- Merokok
Bagaimanakah kanser faraj didiagnosis?
Doktor akan terlebih dahulu menyoal anda tentang kesihatan dan simptom umum sebelum menjalankan pemeriksaan
fizikal yang menyeluruh. Diagnosis dibuat berdasarkan simptom, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan yang anda
laporkan.
- Pemeriksaan pelvis: Doktor akan memeriksa abdomen dan pelvis anda. Semasa pemeriksaan
pelvis, doktor anda biasanya menjalankan pemeriksaan dalaman dengan menggunakan spekulum dan kolposkop untuk
memeriksa vulva dan bahagian dalam faraj. Spekulum ialah alat yang digunakan untuk membuka faraj dengan
lembut untuk memberikan pandangan yang jelas di dalam serviks.
- Kolposkopi: Kolposkop ialah alat pembesar khusus dengan sumber cahaya dipasang. Alat ini
kekal di luar badan dan tidak memasuki faraj anda. Doktor anda meletakkan kolposkop berhampiran bukaan faraj
dan menggunakannya untuk memeriksa faraj dengan teliti. Jika mana-mana kawasan abnormal dikenal pasti,
doktor anda mungkin melakukan biopsi iaitu sampel kecil tisu dikeluarkan untuk diperiksa dengan mikroskop.
- Ujian pengimejan: Imbasan tomografi berkomputer (CT), pengimejan resonans magnetik (MRI)
atau imbasan tomografi pelepasan positron (PET) boleh dilakukan untuk menentukan tahap kanser dan jika telah
merebak ke kawasan lain.
Bagaimanakah kanser faraj dirawat?
Rawatan yang akan dicadangkan oleh doktor bergantung pada beberapa faktor, termasuk jenis dan peringkat kanser.
Radioterapi, pembedahan dan kemoterapi adalah rawatan biasa.
- Radioterapi
Sinaran menghalang pertumbuhan sel-sel kanser dengan mendedahkannya kepada sinar-X bertenaga tinggi.
Mungkin disarankan dalam pelbagai situasi termasuk:
- Rawatan primer
- Pascapembedahan
- Untuk mencegah kanser berulang
- Rawatan nodus limfa berdekatan faraj
- Sebagai gabungan dengan kemoterapi
- Untuk merawat kanser faraj yang tidak dapat dibuang sepenuhnya melalui pembedahan
Anda mungkin mempunyai radioterapi luaran, radioterapi dalaman (brachytherapy) atau gabungan
kedua-duanya.
- Pembedahan
Pembedahan boleh dilakukan untuk peringkat awal kanser faraj. Pembedahan melibatkan pembuangan:
- Sebahagian daripada faraj: Hanya jika tumor bersaiz kecil dan pada bahagian atas faraj.
- Keseluruhan faraj: Nodus limfa juga mungkin dibuang.
- Faraj, serviks dan rahim (histerektomi): Boleh termasuk pembuangan tiub fallopio serta ovari.
- Faraj, serviks, ovari, tiub fallopio dan semua atau bahagian pundi kencing, rektum dan usus: Hanya
jika kanser telah merebak dan pilihan rawatan lain tidak dapat dilakukan.
- Kemoterapi
Dalam kemoterapi, ubat-ubatan diambil secara oral atau intravena untuk mematikan sel-sel kanser.
Biasanya, kemoterapi diberikan serentak dengan radioterapi (kemoradioterapi).
Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengurangkan risiko mendapat kanser faraj?
Ketika ini, tiada cara yang berkesan untuk mencegah kanser faraj. Namun, terdapat beberapa langkah yang boleh
anda ambil untuk mengurangkan risiko anda mendapat penyakit ini:
- Amalkan seks selamat seperti menggunakan kondom untuk mengurangkan risiko HPV dan jangkitan kelamin (STI)
yang lain.
- Mengurangkan bilangan pasangan seksual boleh merendahkan risiko anda terdedah kepada HPV dan STI lain.
- Melakukan pemeriksaan rutin dan saringan ginekologi. Pemeriksaan rutin pap smear dan pelvis
boleh membantu mengesan perubahan prakanser atau kanser faraj peringkat awal.
- Bincang dengan doktor anda tentang vaksinasi
HPV.
- Amalkan diet yang lengkap dengan banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh, terlibat dalam
aktiviti fizikal yang kerap dan mengekalkan berat badan yang sihat.
- Jika anda merokok, berhenti merokok adalah penting. Merokok adalah faktor risiko untuk pelbagai jenis
kanser, termasuk kanser faraj.
Atur janji temu di Hospital Pantai
Pengesanan awal kanser faraj akan memudahkannya dirawat dengan rawatan yang berkesan dan sesuai. Pasukan pakar Obstetrik & Ginekologi pelbagai
disiplin yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding bagi menyediakan penjagaan dan bantuan
terbaik kepada pesakit.
Hubungi kami untuk mengatur janji temu hari ini jika
anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang pilihan rawatan kanser.
Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya
terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.