Kanser berlaku apabila sel-sel dalam badan tumbuh di luar kawalan. Ada banyak jenis kanser yang mula tumbuh di dalam organ pembiakan wanita. Ini termasuk kanser pada ovari, serviks, uterus, vagina, vulva, dan tiub fallopio.
Rencana ini akan membincangkan kanser ovari - simptom, faktor risiko, jenis rawatan dan petua pencegahan untuk melawan kanser ini.
Apa itu kanser ovari?
Sistem pembiakan wanita terdiri daripada vulva, vagina, uterus (rahim), tiub fallopio dan ovari. Wanita ada dua ovari, yang terlatak di kedua-dua sisi uterus. Ovari ini menghasilkan ovum yang boleh disenyawakan semasa tahun-tahun pembiakan.
Kanser ovari adalah pertumbuhan sel-sel abnormal yang bermula di dalam ovari. Sel-sel ini mungkin membiak dengan cepat dan merebak ke bahagian badan yang lain jika tidak dirawat.
Apakah jenis-jenis kanser ovari?
Berikut adalah beberapa jenis kanser ovari:
1. Kanser ovari epitelium
Ini adalah jenis kanser ovari yang paling umum dan membentuk membentuk 85% ke 89% daripada semua kes kanser ovari. Tumor epitelium terbentuk di dalam lapisan tisu di luar ovari dan biasanya tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal.
2. Kanser ovari sel germa
Kanser ovari sel germa jarang berlaku. Kanser ini lebih biasa terjadi dalam kalangan wanita muda dan remaja.
3. Kanser ovari sel stroma
Sel stroma berasal daripada sel-sel ovari. Kanser ini jarang berlaku dan tumbuh dengan perlahan. Namun, sesetengah sel yang terjejas akan menghasilkan hormon seperti progesteron, estrogen, dan testosteron.
Disebabkan ini, simptom yang ketara mungkin akan muncul seperti bulu muka, jerawat, atau pendarahan rahim.
Apakah punca bagi kanser ovari?
Faktor-faktor risiko berikut boleh menambahkan kemungkinan mendapat penyakit ini.
Tiada cara pasti untuk mengetahui jika anda akan mendapat kanser. Ada wanita yang tidak berisiko tinggi boleh mendapatnya manakala ada wanita yang berisiko tinggi pula tidak.
Bagaimanapun, faktor-faktor berikut dikatakan boleh menambahkan risiko wanita untuk mendapat kanser ovari:
- Sejarah kanser ovari dalam keluarga
- Mutasi genetik seperti BRCA1 atau BRCA2, atau sindrom Lynch
- Pernah mengalami kanser payudara, kolorektum, atau uterus
- Mempunyai latar belakang Askenazi Yahudi atau Eropah Timur
- Endometriosis
- Kesukaran untuk hamil atau tidak pernah melahirkan anak
- Mengambil estrogen tanpa progesteron selama 10 tahun ke atas
Apakah simptom bagi kanser ovari?
Tiada sebarang simptom yang ketara pada peringkat awal kanser ovari. Di samping itu, simptom mungkin disebabkan oleh keadaan kesihatan lain yang lebih umum.
Tanda dan simptom bagi kanser ovari termasuk:
- Pendarahan vagina atau lelehan yang tidak normal
- Sakit di kawasan pelvis
- Sakit di kawasan abdomen
- Sakit belakang
- Abdomen kembung atau bengkak
- Cepat berasa kenyang dan/atau susah nak makan
- Perubahan tabiat usus seperti sembelit
- Perlu segera atau kerap membuang air kecil
- Kelesuan
- Hilang berat badan
Anda harus berikan perhatian kepada tubuh anda. Jumpa dengan doktor jika anda rasa tidak selesa atau mengalami pendarahan vagina yang tidak biasa atau simptom lain selama lebih daripada dua minggu.
Bagaimanakah kanser ovari didiagnosis?
Untuk mendiagnosis kanser ovari, doktor anda mungkin melakukan:
- Ujian darah untuk memeriksa penanda CA-125
- Ujian pengimejan seperti imbasan MRI, imbasan CT, atau ultrabunyi melalui vagina
- Laparoskopi untuk melihat keadaan ovari dan mengambil sampel tisu bagi tujuan biopsi
- Biopsi untuk memeriksa sampel tisu dan menentukan jenis serta gred kanser.
Doktor anda akan bertanya tentang sejarah perubatan keluarga anda dan mungkin memeriksa pelvis anda.
Bagaimana peringkat kanser ovari ditentukan selepas didiagnosis?
Peringkat-peringkat kanser ovari adalah seperti berikut:
Peringkat | Penerangan |
---|---|
1 | Sel kanser wujud dalam satu atau kedua-dua ovari dan mungkin juga pada permukaan ovari atau cecair daripada abdomen |
2 | Kanser telah merebak daripada ovari kepada tisu lain di kawasan pelvis, seperti uterus atau tiub fallopio. |
3 | Kanser kini berada di luar pelvis. Kanser ovari biasanya merebak kepada omentum, usus, diafragma, dan permukaan hati. |
4 | Kanser telah merebak ke luar pelvis dan abdomen, seperti paru-paru, hati, atau limpa. |
Apakah pilihan rawatan bagi kanser ovari?
Rawatan yang akan dicadangkan oleh doktor bergantung pada beberapa faktor, termasuk jenis dan peringkat kanser. Pembedahan, kemoterapi, dan radioterapi adalah rawatan yang biasa dilakukan, tetapi terapi hormon dan terapi sasaran juga digunakan.
1. Pembedahan
Pembedahan biasanya adalah langkah pertama yang diambil untuk merawat kanser ovari. Doktor mungkin membuang ovari, tiub fallopio, uterus, dan nodus limfa anda, bergantung pada tahap penyebaran kanser.
2. Kemoterapi
Dalam kemoterapi, ubat-ubatan diambil secara oral atau intravena untuk mematikan sel-sel kanser. Ubat kemoterapi akan beredar di dalam tubuh melalui aliran darah. Sebab itu prosedur ini berkesan untuk merawat kanser ovari yang telah merebak. Namun, ubat kemoterapi akan membunuh sel yang sihat juga, yang menyebabkan pelbagai kesan sampingan.
Doktor mungkin juga mencadangkan kemoterapi intraperitoneum (IP). Dalam kemoterapi IP, satu dos besar ubat akan disuntik terus ke dalam rongga abdomen untuk menyasarkan kanser.
3. Radioterapi
Radioterapi menggunakan pancaran radiasi bertenaga tinggi seperti x-ray untuk mematikan sel-sel kanser. Kaedah ini biasanya digunakan untuk mengecutkan tumor sebelum ia dibuang melalui pembedahan. Namun, radioterapi biasanya bukanlah pilihan utama bagi kanser ovari.
4. Terapi hormon
Sesetengah kanser ovari bergantung pada hormon untuk membesar. Ubat penyekat hormon wanita mungkin pilihan rawatan yang sesuai bagi sesetengah kes.
Terapi hormon boleh diambil secara oral atau menerusi suntikan.
5. Terapi sasaran
Dalam terapi sasaran, ubat-ubatan digunakan bagi menghalang pembentukan saluran darah baru di dalam tumor atau bagi menghapuskan enzim tertentu yang diperlukan untuk pertumbuhan tumor itu. Oleh itu, terapi sasaran didapati kurang menjejaskan sel-sel yang sihat, tetapi banyak ubat-ubatan seperti ini masih berada pada peringkat percubaan klinikal.
Terapi sasaran ada kalanya digunakan bersama dengan kemoterapi.
Apakah kadar hidup bagi kanser ovari?
Menurut Persatuan Kanser Amerika, kadar hidup 5 tahun secara umum dan relatif bagi kanser ovari adalah
- 49% bagi kanser ovari epitelium,
- 90% bagi kanser ovari sel stroma, dan
- 93% bagi kanser ovari sel germa.
Bagaimanapun, angka-angka ini tidak menentukan sama ada seorang individu akan terus hidup atau tidak jika didiagnosis dengan penyakit ini. Banyak faktor yang mempengaruhi kadar hidup perlu diambil kira setelah didiagnosis, termasuk kesihatan umum, umur, dan respons terhadap rawatan.
Oleh kerana setiap kes adalah berbeza, doktor anda boleh memberi maklumat yang lebih tepat berkenaan kadar hidup bagi kanser.
Bagaimana anda boleh membuat pemeriksaan kanser ovari di rumah?
Membuat pemeriksaan kanser ovari di rumah sememangnya mustahil. Jadi, langkah terbaik yang boleh diambil adalah berjaga-jaga terhadap simptomnya. Perhatikan apa-apa perubahan pada badan anda, dan jika anda ada mengalami mana-mana simptom yang disebut di atas, pergi berjumpa doktor secepat mungkin. Seperti semua kanser yang lain, pengesanan awal akan mempengaruhi hasil rawatan.
Apa yang boleh dilakukan untuk mencegah kanser ovari?
Tiada cara yang 100% boleh mencegah kanser ovari. Namun, perkara berikut boleh mengurangkan kemungkinan mendapat penyakit ini:
- Menggunakan pil pencegah hamil selama lima tahun atau lebih lama
- Melahirkan anak
- Menyusu anak untuk satu tahun atau lebih lama
- Mengikat tiub, membuang ovari atau histerektomi
Cara terbaik untuk mencegah dan mengurangkan risiko penyakit ini adalah berbincang dengan doktor anda. Meskipun perkara yang disebut di atas dikaitkan dengan risiko kanser ovari yang lebih rendah, ia tidak merangkumi semua orang. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira untuk mencegah kanser.
Walaupun kanser ovari jarang berlaku, masih penting untuk kita mengetahui simptom-simptomnya. Jika anda mengalami sebarang simptom yang tersenarai dalam rencana ini, sila kunjungi doktor anda. Lebih-lebih lagi jika simptom anda tidak bertambah baik.
Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai
Menerima diagnosis kanser boleh membebankan anda dan memilih rawatan yang sesuai juga boleh menjadi sukar. Pasukan ahli onkologi yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.
Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.
Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.
Rujukan
Persatuan Kanser Amerika (11 April 2019) Apa itu kanser ovari? Tersedia di https://www.cancer.org/cancer/ovarian-cancer/about/what-is-ovarian-cancer.html [Accessed 11 March 2022]
Penyelidikan Kanser UK (25 Nov 2021) Kanser ovari, Tersedia di https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/ovarian-cancer [Accessed 11 March 2022]
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (15 Mac 2021) Maklumat Asas Tentang Kanser Ovari, Tersedia di https://www.cdc.gov/cancer/ovarian/basic_info/index.htm [Accessed 11 March 2022]
Yayasan Kanser Wanita (2022) Kanser Ovari, Tersedia di https://www.foundationforwomenscancer.org/gynecologic-cancers/cancer-types/ovarian/ [Accessed 11 March 2022]
Talian Kesihatan (13 Dis 2019) Kanser Ovari, Tersedia di https://www.healthline.com/health/ovarian-cancer [Accessed 11 March 2022]