Jangkitan Kelamin (STI) Wanita: Gambaran Keseluruhan

Jangkitan kelamin (STI) terus menimbulkan cabaran kesihatan awam yang ketara di seluruh dunia, menjejaskan individu daripada semua peringkat umur, jantina dan orientasi seksual.

Namun, bagaimana anda boleh membezakan jika anda dijangkiti oleh STI? Apakah tanda-tanda yang perlu anda ketahui dan apakah langkah yang perlu anda ambil semasa diagnosis?

Dalam panduan ini, kami menerangkan STI khusus yang lazimnya memberi kesan kepada wanita, memberikan pengetahuan berharga untuk memperkasakan individu dalam menjaga kesihatan seksual mereka.

Apakah Jangkitan Kelamin (STI)?

Istilah STI (Jangkitan Kelamin) dan STD (Penyakit Kelamin) sering secara bergantian.

Jangkitan kelamin (STI) merujuk kepada jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit yang boleh disebarkan melalui aktiviti seksual (seks faraj, dubur atau oral) atau hubungan intim.

Beberapa STI biasa termasuk klamidia, gonorea, sifilis, herpes genital, human papillomavirus (HPV) dan HIV.

Apakah STI Biasa Yang Dialami Oleh Wanita?

Beberapa STI biasa menjangkiti kalangan wanita termasuk: 

1. HPV (Human Papillomavirus)

HPV ialah jangkitan virus yang menyebabkan ketumbuhan kecil kulit (ketuat) pada bahagian tubuh yang berlainan. Terdapat lebih 200 jenis HPV dan sesetengahnya boleh menyebabkan kanser. Selain itu kanser serviks, kanser lain yang menjejaskan dubur, vulva dan tekak (oropharyngeal) telah dikaitkan dengan human papillomavirus. 

2. Klamidia

Klamidia ialah salah satu STI yang paling biasa terjadi, disebabkan oleh bakteria yang dipanggil Chlamydia trachomatis. Tanpa rawatan yang betul, ia berpotensi merebak ke rahim dan tiub fallopio, menyebabkan penyakit radang pelvis. Wanita hamil mempunyai kemungkinan menularkan klamidia semasa bersalin kepada bayi mereka jika tidak dirawat. Akan tetapi, sebaik sahaja didiagnosis, klamidia boleh dirawat dengan berkesan menggunakan antibiotik. 

3. Gonorea

Gonorea disebabkan oleh bakteria Neisseria gonorrhoeae. Jangkitan ini biasanya menjejaskan belia muda. Bakteria yang menyebabkan gonorea boleh menjangkiti saluran kemaluan, mulut atau dubur. Penularan boleh berlaku melalui hubungan seksual faraj, mulut atau dubur dengan individu yang dijangkiti. Sekiranya si ibu tidak dirawat, gonorea boleh berjangkit kepada bayi semasa bersalin.

4. Sifilis

Sifilis boleh menjangkiti kawasan kemaluan, bibir, mulut atau dubur pada kedua-dua jantina. Biasanya berjangkit melalui hubungan seksual dengan individu yang dijangkiti, malah juga boleh menular kepada bayi semasa hamil.

5. Herpes genital

Herpes simplex virus (HSV), biasanya dikenali sebagai herpes ialah jangkitan yang menyebabkan luka pada bahagian kemaluan atau rektum, punggung dan paha anda. Boleh dijangkiti melalui hubungan faraj, dubur atau mulut dengan orang yang dijangkiti dan penularan boleh berlaku walaupun tanpa kehadiran kudis yang kelihatan. Selain itu, si ibu boleh menularkan virus kepada bayi mereka semasa bersalin. 

6. Trikomoniasis

Trikomoniasis disebabkan oleh parasit Trichomonas vaginalis. Jangkitan ini menular kepada individu lain melalui hubungan seksual, selalunya tanpa simptom yang ketara. Jika simptom muncul, biasanya kelihatan jelas dalam masa 5 hingga 28 hari selepas jangkitan.

7. HIV/AIDS

Human Immunodeficiency Virus (HIV) memberi kesan kepada sistem imun dengan memusnahkan sel-sel yang melawan jangkitan. Penyakit ini merebak melalui sentuhan dengan cecair badan, kebanyakannya semasa hubungan seks tanpa perlindungan, berkongsi jarum suntikan ubat, sentuhan dengan darah individu yang dijangkiti, daripada ibu kepada bayi semasa hamil, melahirkan anak atau menyusu. 

Jika tidak dirawat, HIV boleh berkembang menjadi sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS). Walaupun HIV tidak boleh disembuhkan, setelah didiagnosis, anda boleh menjalani ART atau terapi antiretroviral untuk menyekat virus. 

Bagi individu yang mengambil ubat mereka dengan baik, kiraan virus akan tidak dapat dikesan, bermakna mereka tidak boleh menyebarkan HIV kepada pasangan HIV negatif melalui hubungan seks. Rawatan ini juga mengurangkan kemungkinan wanita menularkan virus kepada anak mereka semasa kelahiran dan penyusuan.

Apakah Tanda-tanda STI? 

STI ditunjukkan secara berbeza; simptom yang dialami wanita bergantung kepada kesihatan dan umur mereka. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa simptom lazim STI, termasuk:

  • Sakit atau kerap membuang air kecil
  • Bau faraj yang luar biasa
  • Keputihan tidak normal dari faraj
  • Gatal atau kemerahan pada faraj
  • Gatal dubur
  • Pendarahan tidak normal dari faraj
  • Benjolan, luka, lepuh di dalam mulut, faraj atau dubur
  • Membakar dan sakit ketika membuang air kecil 
  • Sakit abdomen bawah
  • Nodus limfa yang sakit dan bengkak pada pangkal paha

Apakah Faktor Risiko Dijangkiti STI?

Wanita yang aktif secara seksual mempunyai beberapa tahap pendedahan kepada STI. Faktor yang meningkatkan risiko ini termasuk:

  • Hubungan seks tanpa perlindungan dengan individu yang dijangkiti: Seks faraj atau dubur dengan pasangan yang dijangkiti tanpa kondom boleh meningkatkan risiko mendapat STI. Penggunaan kondom yang tidak betul juga boleh mengakibatkan jangkitan.
  • Mempunyai berbilang pasangan seks: Semakin banyak bilangan pasangan seksual, semakin tinggi pendedahan dan kemungkinan anda dijangkiti STI.
  • Sejarah STI: Dalam kebanyakan kes, dijangkiti sejenis STI berpotensi menyebabkan anda terdedah kepada STI lain. 
  • Berkongsi jarum: Perkongsian jarum semasa menggunakan dadah boleh menyebabkan penularan Hepatitis B, Hepatitis C, HIV dan virus lain. 
  • Kekurangan pengetahuan atau maklumat salah: Individu yang lebih muda mungkin kurang memahami kesihatan seksual dan kaedah pencegahan, menjadikan mereka lebih terdedah kepada tingkah laku berisiko. Satu kajian menunjukkan bahawa kira-kira separuh daripada STI baru berlaku kepada golongan berusia 15-24 tahun.

Bagaimanakah STI Dirawat?

Rawatan untuk STI bergantung kepada jenis jangkitan: 

  • Antibiotik: Antibiotik boleh menyembuhkan kebanyakan STI yang berpunca daripada bakteria dan jangkitan parasit, termasuk klamidia, gonoroea, sifilis dan trikomoniasis. Amat penting untuk melengkapkan preskripsi antibiotik. Di samping itu, dinasihatkan untuk menahan diri daripada hubungan seks sekurang-kurangnya seminggu selepas menyelesaikan rawatan dan kudis sembuh. 
  • Ubat antiviral: Untuk HIV dan herpes, anda diberi ubat antivirus. Ubat antivirus akan membantu mengurangkan simptom herpes. Untuk HIV, terapi Antiretroviral (ART) boleh membantu menguruskan jangkitan HIV. Selain itu, ART mengurangkan risiko penularan virus kepada orang lain.

Apakah Akan Berlaku Kepada STI Yang Tidak Dirawat?

Berikut adalah beberapa risiko berkaitan dengan STI yang tidak dirawat: 

  • Menjangkiti orang lain: STI yang tidak dirawat membuatkan pasangan seksual anda berisiko dijangkiti penyakit ini. 
  • Kemandulan: STI seperti gonorea dan klamidia boleh menyebabkan kemandulan tetapi boleh dirawat. 
  • Risiko kepada anak dalam kandungan: Wanita hamil boleh menjangkiti anak dalam kandungan. 
  • Risiko kanser tinggi: Seperti yang dinyatakan sebelum ini, HPV yang tidak dirawat boleh mengakibatkan kanser serviks dan jenis kanser lain. 

Bagaimanakah Cara Mencegah STI?

  • Vaksinasi: Vaksin disediakan untuk STI tertentu seperti HPV dan Hepatitis B. Mendapatkan vaksin boleh mengurangkan risiko jangkitan.
  • Hadkan pasangan seksual: Mempunyai kurang atau hanya satu pasangan seksual boleh mengurangkan risiko pendedahan. Anda dan pasangan anda mesti diuji sekali-sekala dan berkongsi keputusan antara satu sama lain.
  • Amalkan seks selamat: Jika aktif secara seksual, gunakan kondom atau empangan pergigian (dental dam) secara konsisten dan betul semasa hubungan seks faraj, dubur atau oral untuk mengurangkan risiko penularan STI. Kondom tidak menawarkan perlindungan mutlak terhadap kerana STI tertentu seperti herpes genital masih boleh berjangkit walaupun menggunakan kondom.
  • Elakkan berkongsi jarum: Elakkan berkongsi jarum atau peralatan lain untuk menyuntik dadah bagi mencegah penularan STI seperti HIV dan hepatitis.
  • Pemeriksaan berkala: Jadualkan pemeriksaan berkala dengan doktor anda untuk memantau kesihatan seksual dan membincangkan sebarang kebimbangan atau simptom. Berbincang dengan doktor anda tentang STI, simptom dan pencegahannya. 

Atur Janji Temu di Hospital Pantai

Jaga kesihatan seksual anda hari ini! Dapatkan ujian dengan kerap, amalkan seks selamat dan berkomunikasi secara terbuka dengan pasangan anda. Ingat, pencegahan adalah caranya. Lindungi diri anda dan pasangan anda daripada STI.

Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pasukan ginekologi hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pantai yang terdekat dengan anda.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!