Pembedahan Am

Pembedahan am adalah pembedahan khusus yang merawat masalah dan penyakit yang berkaitan dengan:

  • Organ abdomen - esofagus, perut, hati, pankreas, pundi hempedu, duktus hempedu, apendiks, usus kecil dan usus besar
  • Kulit dan tisu lembut
  • Payudara
  • Kelenjar tiroid
  • Saluran darah dan jantung

Pakar bedah memiliki kepakaran tersendiri seperti pembedahan kepala dan leher, pembedahan onkologi, transplan dan pembedahan vaskular. Pakar bedah am berpengetahuan dalam penjagaan kritikal pembedahan, onkologi pembedahan dan trauma; dan mereka bertanggungjawab untuk menjaga pesakit sebelum dan selepas pembedahan.


Apa jenis pembedahan yang dilakukan di Hospital Pantai?

1. Pembedahan kepala dan leher

Pembedahan kepala dan leher termasuk mendiagnosis dan menguruskan penyakit kepala dan leher. Jika anda mempunyai tumor benigna atau maligna dalam kepala dan leher yang perlu dibuang melalui pembedahan, pakar kami akan menilaikan dan menguruskan rawatan anda secara cermat dan holistik, dibantu oleh pasukan pelbagai disiplin termasuk radiasi dan onkologi perubatan.

Pakar bedah am memiliki kepakaran dalam merawat penyakit berikut:

  • Sinus
  • Mulut dan lidah
  • Tekak
  • Tiroid dan paratiroid
  • Kulit pada kepala dan leher

Pembedahan kepala dan leher yang biasa termasuk:

  • Tonsilektomi, iaitu pembedahan untuk membuang satu atau kedua-dua tonsil bagi merawat tonsilitis
  • Pembedahan sinus endoskopik di mana pakar bedah memeriksa bukaan sinus untuk mencari dan membuang ketumbuhan yang obstruktif atau ganjil
  • Prosedur uvulopalatofaringoplasti untuk membuang tisu berlebihan daripada belakang tekak bagi merawat masalah apnea tidur
2. Pembedahan payudara

Pembedahan payudara dilakukan untuk merawat masalah benigna atau maligna dalam payudara:

  • Prosedur lumpektomi membuang gumpalan dalam payudara dan tisu di sekelilingnya tanpa mengubah penampilan payudara. Prosedur ini disyorkan jikalau biopsi menunjukkan adanya kanser peringkat awal atau jika barah masih kecil. Lumpektomi turut dilakukan untuk membuang keabnormalan bukan maligna dalam payudara.
  • Mastektomi dilakukan untuk membuang seluruh payudara. Prosedur ini untuk wanita yang mempunyai karsinoma duktus berlebihan atau wanita yang ingin mencegah kemungkinan berlakunya kanser payudara.
  • Augmentasi payudara dilakukan untuk menyerlahkan penampilan payudara wanita. Biasanya, prosedur ini menggunakan implan yang diletakkan di atas atau di bawah otot dada pektoralis.
  • Pengecilan payudara akan mengurangkan penampilan, volum dan kontur payudara sambil mengekalkan sensasi dan fungsinya. Prosedur ini membuang kulit, lemak dan tisu kelenjar yang berlebihan. Pembedahan ini berfaedah untuk mengurangkan sakit tengkuk, sakit belakang dan rengsa kulit.
  • Rekonstruksi payudara akan membentuk semula payudara wanita untuk mendapatkan penampilan, kontur, dan volum yang diingini menggunakan implan atau tisu wanita itu sendiri. Meskipun puting akan dibentuk semula, sensasi payudara biasa dan keupayaan menyusu akan hilang apabila saraf atau kelenjar/duktus susu dibuang atau tercedera.
3. Pembedahan gastrousus

Pembedahan gastrousus dilakukan untuk merawat pesakit yang menghidap penyakit saluran gastrousus. Pembedahan gastrousus merangkumi dua bahagian: pembedahan gastrousus atas dan pembedahan kolorektum.

Pembedahan gastrousus biasa termasuk:

  • Pembedahan kanser kolon
  • Pembedahan kanser pankreas
  • Pembedahan hernia
  • Pembedahan GERD (penyakit refluks gastroesofagus)
  • Pembedahan penyakit hati
4. Pembedahan gastrousus atas

Pembedahan gastrousus atas boleh dilakukan untuk merawat atau mendiagnosis pesakit yang mempunyai masalah berikut dengan menggunakan teknik seperti terapi laser, pembedahan laparoskopik, endoskopi dan pembedahan torasik jika perlu:

  • Penyakit esofagus seperti refluks esofagitis, penyekatan esofagus, hernia hiatus dan kanser esofagus
  • Penyakit hepatobiliari (hati) merangkumi penyakit hati dan saluran hempedu yang benigna dan maligna. Penilaian juga boleh dibuat ke atas pesakit yang mempunyai gejala seperti jaundis, pankreatitis, atau kolelitiasis
  • Penyakit gastroduodenal seperti masalah refluks, gastrik atau ulser duodenal atau kanser

Pembedahan gastrousus atas yang biasa termasuk:

  • Fundoplikasi Nissen - menguatkan sfinkter esofagus bawah untuk merawat penyakit refluks gastroesofagus (GERD)
  • Roux en-Y - prosedur pintasan gastrik yang biasa untuk mengurangkan saiz perut pesakit bagi mengehadkan jumlah makanan yang boleh ditampung
  • Prosedur Whipple (pankreatikoduodenektomi) - iaitu prosedur pembedahan yang biasanya dilakukan untuk merawat kanser pankreas
5. Pembedahan kolon dan rektum (pembedahan kolorektum)

Pembedahan kolorektum dilakukan untuk mendiagnosis dan merawat penyakit yang menjejaskan usus dan organ yang berkaitan seperti kanser kolorektum, kolitis berulser, penyakit Crohn, penyakit divertikular serta pelbagai penyakit anorektum benigna termasuk hemoroid, fisur dalam dubur dan sebagainya.

Pembedahan kolorektum yang biasa termasuk:

  • Apendisektomi - pembedahan membuang apendiks
  • Hemoroidektomi - membuang hemoroid yang membentuk vena kembang dalam rektum bawah atau dubur. Lain-lain kaedah termasuk hemoroidektomi laser, pengikatan dan pengikatan gelang getah
  • Kolektomi separa - membuang sebahagian usus besar (kolon) untuk merawat kanser kolon atau kolitis berulser jangka panjang
6. Pembedahan hepatobiliari

Pembedahan hepatobiliari adalah terapi yang paling berkesan untuk merawat tumor pada hati dan duktus hempedu. Masalah lain yang boleh dikurangkan gejalanya atau dirawat melalui pembedahan termasuk:

  • Pembedahan pundi hempedu atau kolesistektomi untuk membuang pundi hempedu yang disebabkan batu hempedu
  • Tumor benigna seperti hemangioma dan hiperplasia nodular fokal
  • Sista hati, iaitu gumpalan berisi bendalir di dalam hati. Sista besar boleh menyebabkan gejala seperti rasa sakit atau hilang berat badan
  • Sista duktus hempedu (choledochoceles) yang merupakan faktor risiko untuk kanser duktus hempedu
  • Reseksi pankreas atau pembuangan separa pankreas untuk merawat kanser prankeas
  • Reseksi hati atau pembuangan separa hati adalah prosedur yang paling biasa dilakukan
  • Pemindahan hati untuk menggantikan hati yang tidak sihat dengan hati yang sihat
7. Pembedahan vaskular

Sistem vaskular merangkumi vena dan arteri yang menghantar oksigen kepada sel-sel dalam badan. Masalah akan timbul apabila saluran darah ini tersumbat.

Antara pembedahan vaskular yang biasa termasuk:

  • Angioplasti dan sten - tiub kecil dimasukkan ke dalam arteri dalam groin sebelum kateter dipandukan ke tapak yang terjejas dan belon atau sten dimasukkan ke dalam arteri yang tersumbat untuk membesarkan ruangnya, dan memperbaiki aliran darah
  • Pintasan vaskular - untuk mencipta laluan alternatif bagi pengaliran darah
  • Rawatan laser endovenus - untuk vena varikosa, iaitu teknik berpandukan ultrabunyi untuk mematikan dinding vena menggunakan tenaga laser
  • Trombektomi - untuk membuang darah beku daripada arteri atau vena bagi memulihkan aliran darah dan menghalang komplikasi seperti strok

Faktor risiko untuk masalah vaskular termasuk:

  • Umur
  • Genetik/sejarah keluarga
  • Merokok
  • Obesiti
  • Hipertensi
  • Diabetes

*Senarai ini tidak menyenaraikan prosedur dan rawatan diagnostik kami yang lengkap. Maklumat yang diberikan adalah sekadar rujukan sahaja dan bukannya nasihat perubatan.


Kemudahan pembedahan di Hospital Pantai

Di Hospital Pantai, kami memahami kebimbangan anda tentang pembedahan. Kami bertekad dalam memastikan keselamatan anda dan mendapatkan hasil yang optimum. Kami menggunakan kaedah surgeri yang paling berkesan untuk mempercepatkan pemulihan dan rehabilitasi anda. Teknologi diagnostik dan rawatan yang terkini digunakan bagi memastikan hasil yang terbaik dan untuk mengurangkan kesan sampingan serta masa pemulihan anda.

Setiap pesakit mempunyai keperluan dan harapan mereka yang tertentu. Pasukan pakar bedah yang berpengalaman akan membincangkan, merancang dan membantu anda memilih pelan rawatan yang paling sesuai.

Ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pembedahan Am kami di Hospital Pantai yang terdekat

Pengkhukusan Kami

Muat lagi
Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!