
MASYARAKAT umum sering keliru atau kurang jelas dengan masalah lemah jantung.
Mereka menyamakan penyakit tersebut dengan situasi serangan jantung.
Bagi mengetahui perbezaan antara kedua-dua keadaan berkenaan, Pakar Jantung Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Mohd Al-Baqlish Mohd Firdaus ada penjelasannya.
Kata pakar tersebut, lemah jantung (heart failure) merupakan satu kondisi yang mana jantung gagal untuk mengepam darah beroksigen secukupnya ke organ-organ penting di dalam badan.
“Ia adalah salah satu komplikasi daripada serangan jantung.
“Pun begitu, tidak semua pesakit lemah jantung pernah menghidap serangan jantung,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, pesakit lazimnya menunjukkan beberapa simptom sekiranya mereka mengalami situasi lemah jantung.
Berikut merupakan enam gejala utama penyakit tersebut:
Menyambung hujah, Dr Mohd Al-Baqlish berkata, majoriti pesakit yang menghidap penyakit itu disebabkan oleh komplikasi dari masalah jantung koronari.
“Kadangkala pesakit didapati mengalaminya setelah doktor mengesahkan yang mereka menghidap lemah jantung.
“Pun begitu, penyakit jantung koronari bukanlah satu-satunya penyebabnya,” tuturnya.
Antara sebab utama lain yang boleh menyebabkan penyakit lemah jantung adalah masalah injap jantung (valvular heart disease), otot jantung (cardiomyopathy) dan ritma jantung yang tidak sekata.
Ujarnya, keadaan itu juga boleh berlaku akibat kesan jangka panjang bagi rawatan kanser atau implikasi daripada pengambilan alkohol.
Seseorang juga boleh mengalami lemah jantung akibat keradangan pada otot jantung dan masalah tiroid.
Siapakah yang berisiko tinggi untuk menghidap masalah tersebut?
Bagi menjawab persoalan itu, pakar berkenaan menjelaskan golongan yang berisiko. Antaranya:
Mengulas lanjut, Dr Mohd Al-Baqlish berkata, penyakit kronik tersebut memerlukan rawatan berkala dan bersesuaian.
“Langkah pertama untuk merawat masalah lemah jantung adalah dengan mengesahkan pesakit mempunyai masalah tersebut sebelum mengenal pasti punca terjadinya situasi itu.
“Doktor akan melakukan ujian awal seperti saringan darah, electrocardiogram dan echocardiogram,” katanya.
Dalam kes-kes tertentu, siasatan lebih lanjut akan dijalankan dengan melakukan imbasan CT, pengimejan resonans magnetik (MRI) dan angiogram koronari.
Setelah itu, pesakit lazimnya akan diberikan ubat-ubatan.
"Sesetengah pesakit bagaimanapun perlu menjalani rawatan coronary angioplasty, pembedahan injap jantung atau memasang alat peranti pada jantung.
"Pun demikian, ia bergantung kepada sebab atau punca pesakit mendapat masalah lemah jantung," jelas beliau panjang lebar.
Dalam pada itu, doktor juga akan mengawal rawatan penyakit kronik lain seperti kencing manis dan darah tinggi.
Malah katanya, kebanyakan pesakit dapat menjalani kehidupan yang hampir normal jika mereka mendapatkan rawatan yang optimum.
“Pesakit lazimnya dinasihatkan supaya berhenti merokok dan mengurangkan pengambilan bendalir.
“Mereka juga disaran agar mengehadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam dan lemak tepu,” ujarnya.
Selain itu, pakar tersebut menggalakkan setiap individu untuk kekal aktif dengan terus melakukan aktiviti riadah dan bersukan.
Pun demikian, penghidap yang mengalami masalah lemah jantung yang sangat teruk dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti sukan yang boleh membebankan fungsi organ tersebut.
“Perbuatan tersebut akan meningkatkan risiko kematian mengejut kepada pesakit.
“Mereka digalakkan untuk melakukan aktiviti bersama rakan atau keluarga dan mengelakkan daripada melakukan hal yang berisiko tinggi seperti mendaki gunung atau berenang secara seorang diri,” tuturnya.
Pesakit juga harus tahu kemampuan diri sendiri dan mendapatkan nasihat pakar sebelum melakukan sebarang kegiatan yang berisiko tinggi.
Dalam pada itu, sebarang ubat-ubatan atau supplement pula tidak boleh diambil tanpa rujukan.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang Dr. Mohd Al-Baqlish, klik sini.