Perkara yang perlu anda tahu tentang kolesterol

Diterbitkan pada: 17/04/2024

DI Malaysia, empat daripada 10 orang dewasa Malaysia, termasuk mereka yang berumur di bawah 40 tahun, mengalami tahap kolesterol tinggi dan Penyakit Kardiovaskular Aterosklerotik (ASCVD) telah menyumbang kepada 71% kematian pramatang.

Kolesterol tinggi adalah penyumbang utama ASCVD. Tahap kolesterol yang tinggi boleh membawa kepada keadaan yang dikenali sebagai hiperlipidemia (lipid berlebihan dalam darah) yang boleh menyebabkan masalah kardiovaskular seperti sakit dada atau serangan jantung.

Kolesterol adalah bahan berlilin yang terdapat dalam sel-sel badan dan mempunyai beberapa fungsi berguna, termasuk membantu membina sel dan menghasilkan hormon. Hati menghasilkan 70-80% daripada kolesterol badan, manakala selebihnya berasal dari diet, terutamanya daripada penggunaan produk haiwan.

Kolesterol terdapat dalam dua bentuk: kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL-C), juga dikenali sebagai kolesterol jahat dan kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL-C) yang bermanfaat untuk tubuh. Istilah kolesterol tinggi sering digunakan untuk menggambarkan keadaan apabila terlalu banyak LDL-C yang beredar dalam darah boleh menyebabkan penyumbatan arteri yang seterusnya, boleh menyebabkan sakit jantung atau strok.

Dengan memahami fakta tentang kolesterol, seseorang boleh mengambil langkah yang berkesan untuk mengurus tahap kolesterol dan mengurangkan risiko sakit jantung dan strok. Berikut ialah beberapa perkara penting yang perlu diketahui tentang kolesterol:

  1. Kolesterol tinggi bukan sahaja memberikan kesan kepada warga emas

    Tahap kolesterol tidak berkaitan dengan umur, jantina atau berat badan seseorang. Jumlah tahap kolesterol mungkin meningkat secara berterusan dengan usia tetapi masalah berkaitan kolesterol seperti serangan jantung atau strok boleh menyerang tanpa mengira umur.

    Kes orang yang mengalami serangan jantung pada usia 20-an atau awal 30-an semakin menjadi kebiasaan. Malah, satu daripada lima pesakit serangan jantung hari ini berumur lebih muda dari 40 tahun. Oleh itu, golongan belia mesti mengambil tindakan awal dan berkesan dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala sambil mengekalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan paras kolesterol tinggi.

  2. Menjadi kurus dan aktif tidak sama dengan kolesterol rendah

    Kita biasa dengar orang berkata: "Saya kurus dan aktif dan oleh itu saya tidak fikir saya mempunyai kolesterol tinggi."

    Walaupun kajian telah menunjukkan bahawa orang yang berlebihan berat badan lebih cenderung mempunyai kolesterol tinggi, paras kolesterol juga ditentukan oleh beberapa faktor seperti diet atau jenis makanan yang diambil, tekanan, genetik dan gaya hidup.

    Adalah lebih baik untuk tidak membiarkan kesihatan seseorang kepada andaian. Semua orang dewasa dinasihatkan untuk memeriksa kolesterol mereka setiap tahun selagi risikonya masih rendah. Mengesan tahap kolesterol tinggi lebih awal adalah penting untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan strok.

  3. Beri perhatian kepada faktor keluarga

    Jika seseorang mempunyai ahli keluarga yang menghidap sakit jantung atau kolesterol tinggi, berkemungkinan besar orang itu mungkin mewarisi masalah yang sama. Hiperkolesterolemia keluarga (FH) iaitu gangguan genetik yang menjejaskan satu daripada 250 orang, boleh meningkatkan kemungkinan seseorang mendapat sakit jantung koronari pada usia muda. FH disebabkan oleh gen bermutasi yang diwarisi yang menjejaskan cara badan mengawal dan mengeluarkan kolesterol daripada darah.

    Sesiapa yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai kolesterol tinggi dan sakit jantung disyorkan untuk menjalani saringan seawal usia sembilan tahun.

  4. Ketahui nombor LDL-C anda

    Kolesterol tinggi adalah keadaan "tanpa gejala" dan tidak kelihatan, tidak ada tanda atau gejala kolesterol yang jelas. Ramai di antara kita tidak menyedarinya. Tidak kira betapa cergas dan sihat anda rasa, adalah lebih baik untuk mengetahui angka kolesterol anda.

    Sebagai prinsip umum, adalah dinasihatkan untuk mengekalkan julat paras LDL-C yang ideal antara 1.4 - 2.6mmol/L. Jika tahap kolesterol seseorang melebihi julat itu, dapatkan bantuan perubatan untuk mengurangkan risiko serangan jantung atau strok.

    Sekiranya seseorang didapati mempunyai kolesterol tinggi, dia harus segera mengambil langkah untuk menurunkan paras kolesterol berikutan penilaian dan perundingan yang menyeluruh dengan doktor. Doktor mungkin mengesyorkan pendekatan holistik yang boleh merangkumi rawatan terbaru yang boleh menurunkan LDL-C ke tahap optimum dengan berkesan.

    Pada masa yang sama, perubahan gaya hidup positif yang boleh membawa manfaat jangka panjang dari sudut kesihatan dan mental juga harus dibuat secepat mungkin. Ini termasuk:

      • Makan diet sihat rendah lemak tepu, lemak trans dan garam (natrium) serta menjauhi minuman dengan gula tambahan. Makanan yang tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar adalah sesuai.
      • Menjadi aktif secara fizikal, cuba lakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti aerobik ringan seminggu.
      • Hadkan pengambilan alkohol dan berhenti merokok.
      • Rajin mengambil ubat yang bertujuan untuk mengurus kolesterol, tekanan darah dan paras gula dalam darah dengan cara yang tepat pada masanya dan konsisten.

Artikel ini disumbangkan oleh Dr Tay Hui Sian, pakar perubatan perunding dalam perubatan geriatrik dan am di Hospital Pantai Ayer Keroh.


Related Doctors
Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!
aad blue heart