
BERITA tentang kehamilan merupakan satu khabar yang cukup menggembirakan. Bukan sahaja buat pasangan yang sudah lama menanti zuriat sendiri, bahkan ahli keluarga yang lain.
Penjagaan kehamilan pada trimester pertama adalah sangat penting dan memerlukan perhatian yang teliti kerana dalam tempoh berkenaan, terdapat risiko seperti keguguran yang mungkin berlaku.
Menurut Mayo Clinic, keguguran adalah kehilangan kehamilan secara tiba-tiba sebelum usia kandungan mencapai minggu ke-20.
Kira-kira 10 hingga 20 peratus kehamilan yang diketahui berakhir dengan keguguran, namun bilangan sebenar mungkin lebih tinggi.
Ini kerana banyak keguguran berlaku lebih awal, sebelum orang ramai menyedari bahawa mereka hamil yang mana bayi dalam kandungan tidak berkembang dengan baik.
Justeru, SinarPlus mendapatkan penerangan lebih terperinci tentang tip penjagaan awal kehamilan bersama Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Tan Ying An.
Menurut Dr Ying An, trimester pertama adalah tempoh tiga bulan pertama dalam proses kehamilan.
“Dalam tempoh ini, berlaku pelbagai perubahan menarik pada tubuh ibu dan janin dalam kandungan,” katanya.
Dr Ying An berkata, wanita yang merancang untuk hamil disyorkan untuk mengambil asid folik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil untuk mengurangkan risiko bayi lahir dengan kecacatan tiub saraf (spina bifida) dan otak (anencphaly).
Mereka yang disahkan hamil juga perlu mengelakkan pengambilan suplemen tanpa nasihat doktor kerana ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada bayi.
“Pastikan susu dan keju yang diambil telah dipasteur terlebih dahulu. Kurangkan pengambilan ikan laut yang mungkin dicemari merkuri kerana ia boleh membawa kesan negatif kepada perkembangan saraf bayi,” terangnya.
Berikut antara lain saranan yang direkomendasi kepada ibu mengandung:
- Aktiviti fizikal penting untuk mengekalkan kesihatan si ibu dan disyorkan untuk mereka melakukan senaman ringan seperti yoga, berenang atau berjalan setiap hari.
- Senaman boleh membantu dalam pengurusan berat badan dan mengurangkan risiko kemurungan.
- Merokok semasa hamil mampu menyebabkan kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan masalah perkembangan.
- Anda dinasihatkan untuk berhenti merokok seawal mungkin untuk mengurangkan risiko kepada bayi.
Pemeriksaan doktor
Menjawab satu soalan, pakar perubatan itu turut menasihatkan si ibu berjumpa doktor bagi mengesahkan kehamilan sekiranya mengesyaki sedang mengandung atau jika haid terlambat.
Para wanita disarankan untuk menjalani ujian kehamilan (UPT) jika didapati haid telah lewat selama seminggu, katanya.
“Ini kerana pengesahan kehamilan untuk tempoh empat hingga enam minggu sangat penting bagi mengelakkan risiko tidak diingini berlaku.
“Jika ujian UPT positif, anda dinasihatkan untuk menjalani imbasan ultrabunyi untuk mengenal pasti kedudukan janin di dalam atau di luar rahim (ectopic pregnancy), ketumbuhan pada rahim (fibroid) atau sista,” jelasnya.
Imbasan ultrabunyi juga akan dilakukan untuk mengenalpasti denyutan jantung bayi dan menetapkan tarikh bersalin.
Seterusnya, si ibu perlu melalui pemeriksaan antenatal kedua selepas usia kandungan mencecah 12 hingga 14 minggu.
Semua pemeriksaan rutin berkenaan sangat signifikan kerana menurut Dr Ying An, ujian saringan darah boleh dilakukan untuk mengetahui risiko masalah genetik seperti sindrom down dan jantina bayi.
“Imbasan ultrabunyi dapat dilakukan untuk pemeriksaan awal untuk mengenalpasti kecacatan seperti anacephaly.
“Melalui imbasan, doktor dapat melihat dengan terperinci ketebalan belakang leher, tulang hidung atau kemungkinan masalah lain pada bayi,” katanya.
Selain itu, gabungan ujian darah dan imbasan ultrabunyi pada salur darah rahim boleh membantu menilai risiko pra-eklampsia (darah tinggi dan kencing berprotein).
Dr Ying An turut memberitahu bahawa kehamilan adalah satu perjalanan yang indah dan mencabar bagi sesetengah wanita.
“Sebab itu, adalah penting untuk anda menghadiri semua temu janji yang dijadualkan dan mengekalkan komunikasi terbuka dengan doktor,” ujarnya.
Simptom kehamilan klasik yang paling biasa dikesan:
Artikel ini disumbang oleh Dr. Tan Ying An, Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Pantai Hospital Ayer Keroh. Untuk maklumat lebih lanjut tentang Dr. Tan Ying An, klik sini.