
Adakah situasi menopous boleh berlaku dalam kalangan lelaki dan bagaimanakah ia memberi perubahan kepada fizikal dan emosi seseorang?
SOALAN 1
Kita biasa mendengar golongan wanita akan mengalami menopous. Pun begitu, adakah lelaki juga boleh mengalami situasi tersebut? Boleh doktor jelaskan simptom-simptom yang akan dialami pesakit dan bagaimanakah situasi itu boleh dicegah?
JAWAPAN:
Golongan lelaki boleh mengalami masalah menopaus seperti wanita.
Keadaan itu dikenali sebagai andropaus dan berlaku akibat kekurangan hormon androgen terutamanya testosteron.
Selain menjejaskan sistem organ badan, mereka yang berdepan situasi dipanggil hipogonadisme itu akan mengalami masalah psikologi, emosi dan seksual.
Namun begitu, ia turut boleh dialami remaja dan lelaki dewasa. Pesakit lazimnya mengalami simptom seperti berikut:
Selain itu, kekurangan testosteron juga boleh mengundang risiko yang lebih besar.
Risiko penyakit
Pesakit boleh berdepan penyakit kardiovaskular (jantung), tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.
Seseorang juga lebih mudah mengalami osteoporosis, anemia (kurang darah) dan demensia (nyanyuk).
Gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam, pengambilan makanan segera dan alkohol adalah antara faktor golongan Adam mengalami penurunan aras testosteron.
Perokok dan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah juga mempunyai risiko sama.
Selain itu, pesakit hati, buah pinggang, diabetes, obesiti, hipertensi dan hiperkolesterolemia adalah antara yang terdedah kepada andropaus.
Pencegahan awal masalah tersebut boleh dilakukan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan mengekalkan berat badan ideal.
Seseorang individu disaran untuk melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan elakkan daripada alkohol.
Pesakit juga disyorkan untuk mendapatkan nasihat profesional sekiranya mengalami simptom andropaus.
SOALAN 2
Bagaimana diagnosis andropaus dilakukan dan apakah rawatan yang paling efektif untuk merawat masalah tersebut?
JAWAPAN:
Diagnosis kekurangan testosteron dalam kalangan pesakit dilakukan berdasarkan gejala yang dialami secara fizikal dan klinikal.
Mereka perlu membuat pemeriksaan aras testosteron dalam badan.
Rawatan yang berterusan diperlukan untuk memperbaiki kualiti hidup pesakit dan terapi penggantian testosteron adalah kaedah terkini mengembalikan tahap normal hormon.
Suntikan intramuskular akan dilakukan setiap beberapa minggu atau bulan.
Bagaimanapun, kaedah itu mungkin boleh meningkatkan sel darah merah dan mengakibatkan pembekuan darah dalam paru-paru.
Situasi mikroembolisme pulmonari itu adalah antara penyebab suntikan yang memberikan kesan berpanjangan belum mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA).
Berbeza dengan gel testosteron, penggunaannya jauh lebih selamat.
Pesakit hanya perlu menyapu pada lengan, bahu, paha atau perut dan ia akan diserap melalui kulit ke dalam badan.
Selain mendapat kelulusan dari FDA, formulasi rawatan itu kurang memberi kesan sampingan kepada penggunanya.
Terapi penggantian testosteron memperbaiki komposisi badan dengan membina otot dan mengurangkan jisim lemak.
Seterusnya, ia boleh meningkatkan sensitiviti insulin, selari dengan sindrom metabolik dan mengurangkan risiko diabetes jenis 2.
Rawatan tersebut juga membantu fungsi seksual, emosi, tenaga dan masalah kemurungan.
Bukan itu sahaja, ia turut menurunkan risiko kematian serta pelbagai punca dan penyakit kardiovaskular.
Pun begitu, harus diingati bahawa terapi penggantian testosteron tidak sesuai untuk pesakit kanser prostat.
Mereka yang mempunyai masalah gangguan pernafasan semasa tidur (apnea tidur) dan memiliki sel darah merah terlalu banyak tidak disarankan menggunakan terapi penggantian testosteron.
Pesakit juga perlu tahu bahawa terapi penggantian testosteron adalah rawatan sepanjang hayat.
Doktor akan menasihati pesakit agar menggunakan gel tersebut setiap hari.
Ia bertujuan untuk memastikan tahap testosteron menjadi lebih stabil iaitu bersamaan paras fisiologi darah yang dihasilkan oleh testis.
Pesakit juga dinasihatkan agar tidak mandi dalam tempoh satu jam selepas menyapu gel pada kulit.
Langkah tersebut membantu penggantian testosteron diserap sepenuhnya ke dalam badan.
Namun demikian, rawatan perlu dihentikan jika berlakunya komplikasi terutamanya peningkatan peratusan sel darah merah atau hematokrit.